PANTAI SURA (DUNGUN) – Menjijikkan! Itu gambaran yang boleh diberikan
buat dua remaja lelaki yang bernafsu songsang apabila sanggup menodai
kesucian bulan Ramadan dengan menyewa bilik penginapan bagi melakukan
hubungan sejenis.
Perbuatan tidak bermoral dua remaja lelaki termasuk seorang daripadanya
penuntut institut pengajian tinggi awam (IPTA) ini, terbongkar hasil
serbuan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah di
sebuah tempat penginapan dekat sini, kira-kira jam 2.00 petang semalam.
Serbuan tersebut dilakukan setelah maklumat diterima mengatakan salah
seorang suspek yang berasal dari Berek Kastam, Dungun itu dipercayai
terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Ketika serbuan di lakukan, dua remaja lelaki itu difahamkan berada
dalam keadaan bogel, berpelukan antara satu sama lain atas katil dalam
sebuah bilik yang disewa dengan kadar RM60 semalaman itu.
Salah seorang suspek, pelajar semester enam jurusan perhotelan itu
ketika ditemui, turut mengaku tidak berpuasa dan datang ke situ bersama
rakan lelaki berusia 29 tahun itu untuk melakukan adegan asmara.
Hasil serbuan berkenaan, sehelai coli hitam dipercayai milik pelajar
IPTA yang berasal dari Sungai Buaya itu turut dirampas polis.
Kedua-duanya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk siasatan lanjut
sebelum diarahkan menjalani ujian saringan air kencing untuk mengesahkan
pembabitan mereka dengan penyalahgunaan dadah. - SH