05 August 2012

Musa Aman: Dua wakil rakyat keluar parti mahu jawatan lebih besar

KUALA LUMPUR, 5 Ogos — Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman tidak menolak tindakan dua wakil rakyat dari negeri berkenaan keluar daripada Barisan Nasional (BN) berkemungkinan disebabkan mereka mahukan jawatan yang lebih besar.

Musa (gambar), yang juga Pengerusi BN Sabah menjelaskan, Umno dan BN juga tidak tergugat dengan tindakan Ahli Parlimen dari Beufort dan Tuaran tersebut, masing-masing Datuk Seri Lajim Ukin dan Datuk Seri Wilfred Bumburing yang kemudiannya menjalinkan hubungan dengan Pakatan Rakyat (PR). 

“Saya rasa mereka (Lajim dan Bumburing) mahukan jawatan yang lebih besar berbanding sekarang.
“Ada yang bercita-cita tinggi dan sudah pasti mereka berbuat demikian.
“Itu hak masing-masing. 

“Umno dan BN Sabah tidak tergugat dengan tindakan itu. Rakyat Sabah bijak menilai sendiri siapa yang benar. Tanggapan itu merupakan dakyah pembangkang untuk mengelirukan rakyat,” kata Musa dalam temu ramah dengan akhbar milik Umno, Mingguan Malaysia hari ini. 

Malah, Musa turut menambah, “yang menghairankan saya, mereka sekarang sibuk berjuang untuk rakyat.
“Sepatutnya ketika memegang pelbagai jawatan menteri dan timbalan menteri waktu itulah sepatutnya sudah melakukannya.” 

“Kita perlu mementingkan parti lebih daripada kepentingan peribadi serta ikhlas berkhidmat ... bukan mengejar pangkat dan kedudukan,” tegas Musa lagi.
Jelas beliau lagi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga tidak pernah campurtangan urusan pentadbiran di Sabah, malah, beliau turut melihat kerajaan menunaikan hasratnya apabila melantik pegawai-pegawai pentadbiran daripada kalangan anak jati Sabah. 

“Kita sendiri tentukan hala tuju negeri melalui Jemaah Menteri atau Kabinet Negeri.
“Kita bersyukur mempunyai pemimpin yang memahami denyut nadi rakyat,” tambahnya.
Musa turut menjelaskan, melalui pentadbiran kerajaan BN, Sabah tahun lepas telah menerima pelaburan swasta berjumlah RM10 bilion. 

“Rakyat dapat menerima faedah secara langsung dari pelaburan ini. Saya tahu semua gembira dengan keadaan ini
“Hasil pelaburan juga meningkatkan taraf insfrastruktut, berbeza dengan 10 atau 20 tahun lalu. Saya sering mengadakan perjumpaan di peringkat akar umbi, dan jika ada pihak dakwa BN tergugat di Sabah ... ia tidak benar,” katanya dipetik Mingguan Malaysia. - TMI

* Jawatan mereka sekarang sudah tinggi. Masuk Pakatan tidak menjanjikan jawatan yang tinggi.