13 August 2012

Mat Sentol Rasa Tersisih Kerana 'Lawak Basi'


KUALA LUMPUR: Pelawak veteran popular Mat Sentol berasa dirinya disisihkan oleh kebanyakan penggiat industri hiburan tempatan apabila lawak-lawaknya dianggap picisan kononnya tidak lagi sesuai bagi penonton televisyen masa kini.

Mat Sentol atau nama sebenarnya Mat Raship Yahya, 79, berkata, dia pelik dengan pandangan skeptikal yang diberi sedangkan pengalamannya sebagai seorang pelawak begitu lama malah mampu menghiburkan sesiapa sahaja dengan profesional.

"Lebih 50 tahun saya menjadi pelawak dan telah mengarahkan lebih 20 buah filem. Adakah tidak cukup lagi pengalaman itu? Pelik apabila ada segelintir pihak merasakan lawak saya sudah basi.
"Saya amat kecewa dengan keadaan ini, rasa seperti disisihkan. Tetapi nak buat macam mana, menjadi lumrah pelakon senior sering dipandang sebelah mata, berbeza pula dengan negara luar, pelakon--pelakon lama disanjung tinggi oleh masyarakat mereka," katanya.

Tambah pelakon yang pernah popular dengan lakonannya dalam filem Mat Karung Guniini, walaupun disisihkan, dia masih lagi menerima undangan persembahan pentas secara kecil-kecilan yang secara tidak langsung dapat melepaskan rindunya untuk menghiburkan orang.

"Hati saya dah tekad mahu menghiburkan orang sehingga akhir hayat. Lebih-lebih lagi dalam lawak yang dibuat, terselit sindiran atau pengajaran. Saya mahu orang terhibur dengan sambil diberi sedikit input pembelajaran.
"Tapi apakan daya, saya sudah tidak diperlukan. Jadi, asalkan dijemput untuk menghiburkan penonton yang kecil bilangannya pun sudah lebih daripada cukup," ujarnya.

Sementara itu, ditanya mengenai rutin hariannya pelakon ini enggan berkongsi apa-apa berkaitan mengenai hal peribadi.
"Dari dulu lagi, saya tak pernah pun cerita apa yang saya buat selain berlakon. Bagi saya, ia adalah rahsia peribadi," katanya tersenyum. - Mstar