Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar mencabar bekas timbalan presiden
parti itu Nasharuddin Mat Isa berdepan dan berhujah dengan Majlis Syura
jika tidak setuju dengan hubungan PAS-DAP dalam Pakatan Rakyat.
"Kalau beliau ada pandangan berbeza dengan Majlis Syura Ulama, beliau perlu berani berhujah dengan ahli Majlis Syura yang lain.
"Persoalannya, adakah beliau rasa takut untuk berhujah dengan mereka?
"Adakah beliau tidak cukup ilmu yang beliau miliki untuk bertemu dalam mesyuarat?" sindir ahli parlimen Pokok Sena itu.
Mahfuz mengulas kenyataan Nasharuddin yang mencadangkan PAS keluar
daripada Pakatan jika DAP menentang hudud, seperti dilaporkan TV3 dan Utusan Malaysia.
Nasharuddin
salah seorang anggota Majlis Syura PAS, badan tertinggi pembuat dasar
yang diketuai oleh Mursyidul Am Datuk Nik Aziz Nik Mat.
Bercakap kepada Malaysiakini,
Mahfuz berkata jawatankuasa Pusat dan Majlis Syura PAS terbuka dan
sedia mendengar pandangan ahlinya sekali pun tetap dengan keputusan
bersama Pakatan.
"Amat malang, beliau (Nasharuddin) sebagai ahli
Majlis Syura tiba-tiba tidak boleh berhujah dalam mesyuarat, (kerana)
tidak hadir dalam mesyuarat," katanya.
Setiausaha agung 'pantau' perkembangan
Mahfuz
berkata, memandangkan PAS telah menyatakan pendirian untuk bersama
Pakatan, maka tiba giliran Nasharuddin untuk menyatakan "prinsipnya"
terhadap keputusan itu.
Ditanya sama ada Nasharuddin patut keluar PAS, Mahfuz berkata:
"Terpulang kepadanya nak terima prinsip PAS atau apa-apa yang dia nak putuskan. Dia kena beritahu".
Mahfuz
juga yakin tindakan Nasharuddin yang memberi kenyataan tidak
menguntungkan parti itu tidak memberi kesan kepada akar umbi.
"Saya yakin akar umbi ada kebijaksanaan (untuk menilai). Saya tidak nampak memberi kesan atau mempengaruhi akar umbi," katanya.
Dengan
nada sinis, Nasharuddin juga bertanya sama sama ada Nasharuddin berani
menggesa Umno keluar daripada BN setelah MCA juga menentang hudud.
"Adakah
beliau berani buat begitu suruh Umn keluar BN kerana MCA tentang hudud.
MCA kata ADUN dekat Johor hilang akal," katanya sambil ketawa sinis.
Sementara itu, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali (atas) ketika dihubungi Malaysiakini petang ini enggan mengulas lanjut berhubung tindakan Nasharuddin itu kerana "sedang mengikuti perkembangan" isu itu. - Mkini