KUALA LUMPUR 7 Ogos: Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Shamsul
Iskandar Md Akin mempersoal tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)
dalam melaksanakan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sebagai cubaan
untuk membantu kerajaan menjana dana pilihan raya.
AES yang mula dilaksanakan pada bulan Ogos ini disifatkan sebagai
membebankan rakyat apatah lagi dengan pindaan Akta Pengangkutan Jalan
1987 dalam sidang Parlimen lepas yang menaikkan kadar saman trafik
antara RM300 hingga RM2,000 bagi setiap kesalahan.
“Pindaan undang-undang yang semakin ketat membebankan rakyat,
ditambah pula jika hanya melibatkan kesalahan trafik yang kecil. Jika
dulu harga saman boleh dirunding mengikut budi bicara majistret tetapi
sekarang hakim sendiri terpaksa mengikut peruntukan yang telah
ditetapkan,” jelas Shamsul yang juga merupakan peguam.
Tidak cukup dengan kadar saman yang tinggi, Suruhanjaya Khas Mengkaji
Transformasi Perkhidmatan Awam turut mencadangkan agar saman dibayar
serta merta di lokasi kejadian.
“Ini menimbulkan persoalan adakah rakyat akan terus dizalimi? Adakah JPJ bertindak begitu untuk menjana pendapatan negara.
“Apatah lagi dalam situasi pilihan raya yang semakin hampir, adakah
kutipan saman itu sebenarnya untuk membantu kerajaan Umno menjana dana
pilihan raya?” soal Shamsul lagi.
Shamsul turut mempertikai tindakan kerajaan yang cuba mengaburi
pandangan rakyat dengan memberi bantuan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia
(BR1M) tetapi dalam masa sama turut menekan rakyat dengan kos sara
hidup yang tinggi.
“Kerajaan bagi gula-gula pilihan raya tak seberapa, lepas itu menekan
rakyat dengan pelbagai helah untuk mendapat pulangan balik bantuan yang
diberikan, contohnya beri RM500 lepas itu kenakan saman RM2,000,” jelas
beliau.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga ada umumkan jika mereka
menang PRU-13, cukai barang dan perkhidmatan akan dikenakan. Sebab itu,
janji Pakatan Rakyat jika menang, semua undang-undang ini akan dikaji
dan diteliti, supaya dapat diubah agar tidak membebankan rakyat lagi,”
katanya. - Keadilandaily
* Sudah-sudahlah 'melembukan' rakyat...
