MELAKA 23 Ogos - Gara-gara menegur supaya tidak memukul isteri,
seorang jurukimpal maut ditikam adik iparnya dalam satu pergelutan di
rumah ibu mangsa di Serkam Pantai di sini malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah
berkata dalam kejadian jam 7 malam itu, mangsa, Rashid Ahmad, 46,
mengalami kecederaan parah di bahagian pinggang kirinya akibat ditikam
dengan pisau oleh suspek yang berumur 41 tahun.
Beliau berkata kejadian bermula apabila mangsa menegur adik iparnya
kerana sering memukul isterinya yang berumur 36 tahun yang juga adik
kepada mangsa.
"Pertengkaran tersebut diikuti dengan pergelutan di mana suspek
kemudiannya mengeluarkan pisau dan menikam pinggang kiri Rashid,"
katanya kepada pemberita dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis
Kontinjen Melaka di sini hari ini.
Raja Shahrom berkata suspek yang merupakan seorang pemandu di
Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya kemudian melarikan diri menaiki
kenderaannya iaitu Proton Iswara berwarna hitam dan bernombor plat
NCB3205.
"Mangsa dibawa ke Unit Rawatan Rapi Hospital Melaka pada jam 7.30
malam sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 1.40 pagi dan mayat
mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Seremban untuk bedah siasat,"
katanya.- BERNAMA.