16 August 2012

Istilah ‘kafir harbi’ sangat bahaya, menghalalkan darah orang DAP, kata Khalid


SHAH ALAM, 16 Ogos — Penggunaan istilah “kafir harbi” dalam laporan muka depan akhbar Utusan Malaysia minggu lalu yang menyifatkan adalah haram menyokong DAP jelas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad, adalah  sangat berbahaya kerana ia diibaratkan menghalalkan darah orang DAP.

“Istilah ini sangat bahaya kerana ia seumpama menghalalkan darah orang DAP,” jelas Ahli Parlimen Shah Alam itu kepada pemberita di pejabatnya hari ini. “Ini kerana kafir harbi ini adalah golongan kafir yang menentang Islam.”

Menurut Khalid (foto fail), kenyataan itu jelasnya adalah “kenyataan bodoh dan tidak layak dikatakan oleh mereka yang beragama”.
Akhbar Umno Utusan Malaysia minggu lalu telah menemubual seorang pengasas sekolah agama Pondok Geting, Tumpat, di Kelantan, dan Abdullah Sa’amah mengatakan adalah haram menyokong DAP kerana parti itu menolak hukum Islam.

Sehubungan itu, Khalid menjelaskan, PAS Selangor menggesa agar Majlis Fatwa Kebangsaan juga seharusnya menegaskan pendirian mereka berhubung kenyataan itu.
Malah, Khalid turut menegaskan agar Majlis Fatwa turut mengeluarkan fatwa khusus yang  menyeru umat Islam supaya memilih parti yang perjuangkan asas Islam.

“Amat wajar supaya umat Islam menyokong parti yang berpolitik berdasarkan Al-Quran, Sunnah, Ijma’ dan Qiyas,” katanya lagi.
Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Sallehan Mukhyi, berkata DAP merupakan pertubuhan yang sah dan diizinkan bergerak melalui sistem demokrasi seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kami tidak pelik jika DAP atau mana-mana orang bukan Islam termasuk MCA dan MIC menentang hudud kerana mereka tidak memahami hudud dan mereka bukan beragama Islam,” katanya lagi.
“Tetapi kami pelik jika UMNO yang kononnya menjadi parti umat Islam juga menolak hudud.” - SH