17 August 2012

Enam lelaki, dua wanita terlibat ah long ditangkap

IPOH 13 Ogos - Polis menahan enam lelaki tempatan dan dua wanita warga China yang dipercayai bergiat aktif dalam kegiatan memberi pinjaman wang tanpa lesen atau ah long di sekitar bandar raya ini minggu lalu.

Kesemua suspek berusia antara 21 hingga 34 tahun itu ditahan dalam pemeriksaan polis melibatkan sebuah kereta, premis dan hotel bertaraf sederhana di bandar raya ini Rabu lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, dua daripada suspek memiliki rekod jenayah lampau dan pernah dihukum atas beberapa kesalahan penyalahgunaan dadah serta ugutan jenayah.

"Kumpulan haram ini akan mencetak kain rentang yang menawarkan pinjaman wang berlesen bagi mengelirukan serta memperdaya orang ramai.
"Mangsa akan menghubungi ahli kumpulan ini melalui nombor telefon yang dipaparkan pada kain rentang itu yang dipasang di merata-rata tempat di kawasan bandar ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof.

Berikutan penangkapan itu, Mohd. Shukri berkata, polis merampas sejumlah 4,014 helai kain rentang, 14 buah telefon bimbit, 16 kad pengeluaran wang automatik (ATM) serta 78 buah buku serta ikatan dokumen yang dicatat maklumat peminjam serta rekod pinjaman.

Selain itu, katanya, polis turut merampas empat unit komputer riba, 10 buku akaun perbankan pelbagai bank, sebuah kerusi besi, pisau kecil, dua bungkusan paku payung, sebatang kayu golf serta beberapa alat tulis, buku serta borang pinjaman.

Dalam pada itu, beliau berkata, hasil siasatan polis mendapati kumpulan tersebut telah aktif bergiat sejak tahun 2010 dan memberi pinjaman kepada 400 orang secara purata pada setiap bulan.
"Para peminjam terdiri daripada penjaja, peniaga kecil-kecilan, pekerja kilang dan pengemis. Tiada formula tetap yang digunakan dan kadar faedah boleh mencecah sehingga 300 peratus sebulan," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kesemua suspek telah dilanjutkan reman sehingga hujung minggu ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 5 (1) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.
Tambah beliau, sekiranya sabit kesalahan, ia boleh membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang RM250,000.

Bagi membantu siasatan polis, Mohd. Shukri berkata, pihaknya sedang mencari seorang individu bernama Yit Choon Hoong @ Calvin, 33, yang beralamat di Nombor 31, Lebuh Seri Pekan, Taman Klang Utama, Klang, Selangor.
"Penama ini pernah dibuang negeri dari Ipoh, Perak ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang di bawah Akta Kediaman Terhad 1933 dari Januari 2008 sehingga 2011 kerana menjalankan kegiatan ah long di sini," katanya. - Utusan