KRUBONG - Tindakan seorang lelaki menyertai dua rakannya dalam kegiatan
mencuri besi di sebuah kawasan perindustrian di Krubong, semalam membawa
padah apabila dia tertangkap.
Lebih malang, lelaki berusia 30 tahun itu yang dikatakan baru kali
pertama menyertai 'projek' rakannya itu dibelasah beberapa pekerja
kawasan berkenaan selepas dari terjatuh dari motosikal.
Difahamkan, motosikal yang digunakan lelaki berkenaan juga dipercayai dicuri.
Dalam kejadian kira-kira 10.45 pagi itu, lelaki berkenaan dicekup
beberapa pekerja di kawasan simpanan besi dan batu konkrit milik sebuah
syarikat tempatan.
Penyelia stor syarikat terbabit, Danial Chi, 35, berkata, ketika
dicekup, ketiga-tiga pencuri berkenaan menaiki dua motosikal sedang
mengambil besi untuk dibawa keluar dari kawasan berkenaan yang terletak
bersebelahan jirat Cina.
“Pekerja saya terserempak dengan mereka lalu menyergah suspek yang ketika itu hendak keluar dari pagar.
Salah seorang daripada mereka terkejut dan terjatuh dari motosikal, sebelum dia dibelasah sehingga patah kaki kanan,” katanya.
Manakala, katanya, dua lagi suspek berjaya melarikan diri.
Menurut Danial, besi yang masih boleh digunakan dan disimpan di kawasan
itu sering hilang, namun pihaknya belum pernah dapat menangkap pencuri
sehinggalah kejadian semalam.
Sementara itu, ketika ditemui Sinar Harian, lelaki malang terbabit
berkata, dia melakukan kerja berkenaan untuk menambah pendapatan.
Dia yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak kini menetap di
Batu Berendam dan bekerja sebagai pembantu di sebuah bengkel kereta
milik abangnya.
Pemeriksaan polis terhadap beg yang berada pada motosikal itu turut
menemui peralatan termasuk parang dipercayai untuk melakukan kegiatan
jenayah.
Suspek dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut. Ketua Polis
Daerah Melaka Tengah, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten
Komisioner Salehhudin Abd Rahman mengesahkan kejadian. - SH
* Belasah kerana dalam hati ada keinginan menjadikan ia sebagai pengajaran kepada orang lain. Jika undang-undang yang ada 'berjaya' tentu tidak perlu mengambil tindakan sendiri...
