23 August 2012

Bashar al-Assad sedia undur?

Beberapa orang ahli keluarga meratapi kematian
seorang anggota Tentera Pembebasan Syria yang
terbunuh dalam pertempuran dengan tentera
 kerajaan Syria di Salaheddine di tengah
 bandar Aleppo, kelmarin. - REUTERS
DAMSYIK 22 Ogos - Timbalan Perdana Menteri Syria, Qadri Jamil berkata, mereka bersedia untuk membincangkan mengenai peletakan jawatan Presiden Bashar al-Assad sebagai sebahagian daripada rundingan bagi menamatkan konflik berdarah yang semakin meruncing di negara ini.

Jamil mengeluarkan kenyataan mengejutkan itu, semalam ketika beliau menjadi wakil Syria ke Moscow dan selepas Rusia memberi amaran kepada Barat atas campur tangan mereka di negara ini ekoran tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama memberi amaran kepada Damsyik berhubung penggunaan senjata kimia.

Sementara itu di seluruh Syria semalam, sekurang-kurangnya 128 orang lagi terbunuh, termasuk 81 orang awam, menurut pertubuhan pemantau yang turut melaporkan mengenai berlaku bedilan dan pertempuran di Aleppo serta Damsyik.
“Selagi peletakan jawatan Assad dijadikan sebagai syarat untuk memulakan rundingan, sebarang dialog tidak akan tercapai.

“Namun, sebarang masalah dapat dibincangkan ketika sesi dialog (yang dicadangkan) itu, termasuk mengenai isu peletakan jawatan Assad sebagai Presiden Syria," kata Jamil selepas mengadakan rundingan di Moscow.
Menurut satu sumber politik di Damsyik, Jamil dihantar ke Rusia untuk membincangkan mengenai pelan pilihan raya Presiden di Syria, di mana semua calon akan dibenarkan bertanding, termasuk Assad.
Kumpulan pembangkang yang hidup dalam buangan, Majlis Kebangsaan Syria turut berkata, mereka sedang mengkaji pembentukan kerajaan peralihan, tetapi tidak menyatakan sama ada ia turut membabitkan tokoh-tokoh dalam kerajaan Assad.

Sementara itu, di bandar komersial Aleppo, bedilan kuat dilaporkan berlaku di kebanyakan bahagian di bandar tersebut, termasuk di kawasan seorang wartawan Jepun ditemui terbunuh akibat terkena tembakan, kelmarin.

Menurut aktivis, pesawat pejuang turut mengebom kawasan utara pekan Marea.
Tentera Pembebasan Syria (FSA), pula mendakwa mereka telah menguasai dua pertiga bandar Aleppo tetapi satu sumber keselamatan di Damsyik menafikan dakwaan itu.
- AFP