PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa
seorang lagi pemimpin politik di Sabah akan mengumumkan pendirian
menyokong pembangkang ketika lawatannya ke negeri itu pada Ahad ini (12
Ogos).
Tanpa mengulas lanjut, ketua pembangkang itu bagaimanapun menegaskan
tidak menjanjikan kejutan besar bakal berlaku pada tarikh itu seperti
yang pernah dijanjikannya untuk membentuk kerajaan pada pada 16
September 2008.
"Yang penting kejutan itu daripada rakyat...kebangkitan rakyat. Apa
yang kita sebutkan sebagai kejutan itu sebenarnya adalah kebangkitan
rakyat.
"Kebetulan beberapa tokoh turut serta (sertai Pakatan Rakyat) dan
pada 12 Ogos ini seorang lagi akan umumkan (penyertaan)," katanya pada
sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan
Rakyat di Ibu Pejabat PKR di sini, Khamis.
Anwar dijadual mengadakan lawatan ke kawasan Parlimen Kota Marudu dan Kota Belud pada Ahad ini.
Kedua-dua kawasan berkenaan kini diwakili Ahli Parlimen Barisan
Nasional (BN) iaitu Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Datuk Abdul Rahman
Dahlan.
Bulan lalu, Datuk Lajim Ukin mengumumkan perleletakan jawatannya
dalam Umno manakala Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Wilfred Bumburing,
melepaskan jawatan Timbalan Presiden Pertubuhan Pasokmomogun
Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) untuk menyokong pembangkang.
Ditanya sama ada fenomena yang cuba dicetuskan di Sabah hanya sekadar
janji palsu seperti 16 September 2008, Anwar bagaimanapun menyangkal
pandangan itu sebaliknya menjelaskan pembangkang kini mahu memberi fokus
untuk menghadapi pilihan raya umum. - Mstar