22 August 2012

200 imam dan JKKK dipilih naik haji tahun ini

Seramai 200 imam dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) terpilih dari seluruh negara akan berlepas ke tanah suci Mekah pada 22 September ini untuk menunaikan ibadah haji iaitu Rukun Islam yang kelima.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Jailani Ngah berkata mereka adalah peserta yang berjaya dipilih menunaikan ibadah haji secara percuma di bawah Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan peruntukan sebanyak RM4.1 juta.
  
"Kita jangkakan jumlah ini akan bertambah pada tahun hadapan untuk membawa mereka menunaikan haji.
  
"Kali ini, kesemua bakal jemaah akan ditempatkan di tempat penginapan paling dekat dengan Masjidil Haram," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan surat pelantikan individu yang layak mengerjakan haji di bawah tajaan 1MDB di rumah terbuka beliau di Batu Rakit dekat Kuala Terengganu hari ini.
  
Di Terengganu seramai 32 imam dan pengerusi JKKK dipilih mengikuti program berkenaan.
  
Menurut Jailani program berkenaan adalah yang kedua diadakan di mana pada tahun lepas, seramai 111 imam dan pengerusi JKKK dipilih menyertai program itu.
  
Katanya antara kriteria peserta yang dipilih ialah tidak pernah menunaikan haji dan kemampuan yang terhad serta keinginan yang tinggi.
  
"Mereka ini (peserta) akan menaiki penerbangan pada 10 pagi 22 September di mana slogan kita ialah satu penerbangan, 1 maktab, 1 niat dan 1 ummah," katanya.
  
Katanya jumlah imam di seluruh negara ialah 14,600 orang dan peserta yang terpilih pada tahun ini keutamaan berdasarkan usia yang telah lanjut.
  
Sementara itu salah seorang peserta, Abd Razak Osman berkata pemilihan tersebut adalah satu rezeki yang tidak pernah diimpikannya.
  
Sambil mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri, beliau berjanji untuk berusaha bagi mendapatkan haji yang mabrur.
  
- Bernama