10 July 2012

Tiada campur tangan dalam keputusan penghakiman: Wan Junaidi

KUALA LUMPUR, 10 Julai – Sistem kehakiman merupakan perkara paling asas dalam amalan demokrasi di sesebuah negara dan dengan itu setiap orang perlu percaya, yakin dan mendukungnya, kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (gambar).

Beliau mengulangi kenyataan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria semalam bahawa badan kehakiman tidak pernah tunduk kepada campur tangan badan eksekutif atau bermotifkan politik semasa membuat keputusan penghakiman.


“Pada pengetahuan saya, jika anda bercakap mengenai pemisahan kuasa, konsep ini jelas menunjukkan bahawa tiada hubungan antara badan kehakiman dan badan eksekutif...
“Campur tangan bermaksud, badan eksekutif boleh mengarahkan atau mendesak badan kehakiman atau hakim-hakim untuk membuat keputusan berbeza tetapi yang jelasnya, semua ini tidak berlaku di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan 30 pelajar undang-undang di bawah Program Latihan Pelajar Zaid Ibrahim & Co di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Arifin semasa merasmikan Persidangan Majlis Hakim-Hakim Malaysia yang ke-46 semalam bahawa semua orang boleh memberikan pandangan terhadap badan kehakiman negara atau sebarang keputusan penghakiman tetapi bukan sehingga peringkat menghina institusi itu.

Wan Junaidi berkata beliau telah bercakap dan berbincang dengan banyak orang dalam badan kehakiman, namun mereka (badan kehakiman) tidak pernah diarahkan oleh badan eksekutif untuk membuat penghakiman yang berbeza daripada apa yang ditetapkan mengikut undang-undang.

“Ini hanya merupakan tanggapan salah yang diwujudkan oleh sesetengah pihak untuk membuatkan orang berfikir bahawa mereka (badan eksekutif) telah campur tangan dalam badan kehakiman, tetapi daripada pemerhatian saya, semuanya diputuskan mengikut ketetapan undang-undang,” katanya. – Bernama

* Correct...correct...

No comments:

Post a Comment