31 July 2012

Tiada beza mansuh duti eksais jika buka bidaan AP, kata Pekema

PETALING JAYA, 31 Julai — Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) melihat cadangan Pakatan Rakyat (PR) untuk melaksanakan bidaan umum terhadap Permit Import (AP) adalah “tidak masuk akal” dan hanyalah sekadar kenyataan politik semata-mata.


Presidennya, Datuk Zainuddin Abdul Rahman berkata, cadangan yang dikemukakan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli tidak memberikan sebarang perbezaan jika pendirian mereka adalah untuk membolehkan rakyat menikmati harga kereta yang lebih murah.
“Tiada bezanya jika mereka mansuhkan duti eksais, kemudiannya, mereka buka bidaan umum untuk AP ... sama sahaja, 2x5, 5x2.

“Ini cakap pusing-pusing ... macam kartun. Itu kenyataan orang politik,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Jelas Zainuddin, sekiranya cadangan bidaan AP itu dilaksanakan, rakyat masih lagi perlu membayar harga yang tinggi untuk membeli kereta.
Justeru, beliau menggesa pembangkang agar menerima sistem sedia ada yang diamalkan sekarang kerana beliau percaya, lambat laun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan menuruti kehendak rakyat untuk menurunkan kadar duti eksais kereta.

“Lebih mudah jika kita ikut sistem sekarang, sistem sedia ada ... saya yakin cukai kereta akan diturunkan dalam pembentangan Bajet (2013) akan datang.
Sudah ramai yang mendesak perdana menteri, dan saya yakin beliau akan umum penurunan duti eksais kereta,” katanya.

“Mungkin bukan penurunan besar, tapi kadarnya tetap akan turun,” tambahnya lagi.
Rafizi sebelum ini berkata PR akan melaksanakan penjualan AP secara bidaan umum  bagi mendapatkan sumber pendapatan daripada permit berkenaan selepas melaksanakan cadangan pemansuhan duti eksais kereta sekiranya mereka berjaya menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang.

Pengarah Strategi PKR itu berkata, dalam tempoh antara tiga tahun bermula 2013 sehingga sebelum AP dimansuhkan pada 2015, PR telah mengemukakan cadangan yang bakal menyaksikan negara menjana pendapatan sehingga RM2.8 bilion setahun daripada bidaan umum AP tersebut.
Melalui mekanisme yang dicadangkannya, Rafizi menjelaskan, AP yang akan dijual itu akan dibezakan mengikut kategori kereta dan penggunaan bahan api bagi membolehkan lebih banyak kereta jenis sedemikian diperkenalkan.

“Harga bidaan umum ini bermula pada kadar RM10,000 untuk kereta jimat bahan api, RM20,000 kenderaan biasa, dan RM30,000 untuk kenderaan berkuasa tinggi dan menggunakan lebih bahan api.
“Melalui kaedah ini, pengedar kereta akan bersaing sesama mereka untuk mendapatkan AP. Sekarang ini hanya ada sekitar dua, tiga syarikat sahaja yang mempunyai AP.
“Kami mahu tukar sistem AP sedia ada,” katanya lagi.
Harga terkini AP yang dijual kepada pengusaha kereta adalah berjumlah RM10,000, dengan sebanyak 66,608 AP dikeluarkan pada 2011.

“Kami percaya, purata AP yang dikeluarkan bakal mencecah RM40,000 apabila penjualan AP dibuka kepada bidaan,” katanya dan menambah,”dengan anggaran 70,000 AP dikeluarkan setiap tahun, hasil berjumlah RM2.8 bilion akan dapat diterima kerajaan.”
Rafizi juga turut menjelaskan, walaupun AP ditentukan oleh proses bidaan untuk mendapat hasil terbaik kepada negara, penghapusan duti eksais secara berperingkat juga bermakna harga kereta secara purata akan tetap turun.

Rafizi juga sebelum itu berkata, melalui pemansuhan duti eksais kereta, sejumlah RM8 bilion cukai yang sekarang ini dikenakan kepada rakyat akan dipulangkan kepada rakyat
“RM8 bilion itu lebih baik berada dalam poket rakyat ... ia dalam ekosistem kita.
“Gabungan kedua-dua langkah ini akan memastikan pendapatan negara tidak terjejas mendadak hasil pemansuhan duti eksais secara berperingkat,” tambahnya lagi. - TMI

* Rakyat pun selamat menggunakan kereta berbanding menaiki motosikal...