31 July 2012

Syria isytihar kemenangan

Sepasang suami isteri Syria bersama anak mereka meninggalkan Aleppo bagi mengelak pertempuran antara tentera kerajaan dan pemberontak kelmarin. - Foto EPA
Tentera rampas semula Damsyik yakin kembali kuasai Aleppo

Aleppo: Kerajaan Syria mengisytiharkan kemenangan selepas mendakwa menguasai semula Damsyik dan mula membedil kawasan pemberontak di bandar terbesarnya, Aleppo.


Tentera Syria mengalami kesukaran untuk mengawal semula keselamatan negara itu sejak dua minggu lalu selepas pemberontak mara ke ibu negara dan Aleppo menyusuli letupan membunuh empat pegawai kanan keselamatan.

Dalam tempoh kurang seminggu mereka sudah kalah di Damsyik”. - Walid Moualem, Menteri Luar
Selepas bertempur, askar kerajaan berjaya menawan semula ibu negara tetapi pemberontak masih menguasai beberapa tempat di Aleppo dan bertempur dengan tentera sejak beberapa hari lalu.

Tawan semula ibu negara

“Saya mahu beritahu anda hari ini bahawa Syria semakin kuat. Dalam tempoh kurang seminggu mereka sudah kalah di Damsyik,” kata Menteri Luar, Walid Moualem yang melawat Iran, sekutu rapat Damsyik.

“Jadi, mereka pergi ke Aleppo pula dan saya beri jaminan kepada anda, rancangan mereka akan gagal juga,” katanya lagi.
Pemberontak meronda kawasan musuh dengan trak mengibarkan bendera putih, hijau dan hitam. Mereka mendakwa berjaya menyekat kemaraan askar kerajaan di Salaheddine, selatan-barat Aleppo.

Aktivis pembangkang juga melaporkan pertempuran meletus di kawasan kawalan pemberontak lain di Aleppo selepas tentera menghantar kereta perisai dan menambah askar di situ minggu lalu. - Reuters