Kerajaan Selangor akan mengemukakan cadangan kepada lembaga pengarah
Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) supaya memecat pengerusi
eksekutif dan ketua pegawai eksekutifnya.
Keputusan itu diambil
ekoran kedua-dua pihak itu didakwa tidak hadir memberikan penjelasan
kepada Jawatankuasa Pemantauan SYABAS yang dipengerusikan oleh
setiausaha kerajaan negeri.
"Dengan pemecatan ini, penjimatan kos
operasi dari gaji pengerusi eksekutif SYABAS sahaja adalah berjumlah
sekurang-kurangnya RM5.1 juta setahun," kata menteri besar Tan Sri
Khalid Ibrahim.
Berikut kenyataan penuh Khalid:
Kerajaan
Negeri Selangor telah menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan SYABAS yang
dipengerusikan oleh setiausaha kerajaan negeri Selangor lanjutan
daripada kenyataan dan cadangan untuk membuat catuan air yang diumumkan
oleh SYABAS.
Tujuan jawatankuasa ini untuk memantau secara harian
keberkesanan, kecekapan perkhidmatan SYABAS dan kedudukan semasa
pembekalan air kepada pengguna termasuk meninjau sendiri di tapak
masalah kekurangan bekalan air yang dicanangkan oleh SYABAS.
Jawatankuasa
ini akan mengkaji cadangan penambahbaikan dan pemulihan ke atas masalah
bekalan air yang dihadapi. SYABAS telah diminta membentangkan dan
melaporkan kepada Jawatan kuasa tersebut perkara-perkara berikut:
1. Pengeluaran air harian bagi setiap loji air dan paras empangan;
2. Permintaan air berdasarkan bil air (metered consumption) dari Januari 2012 hingga sekarang;
3. Unjuran permintaan air yang disediakan oleh SYABAS;
4. Maklumat mengenai paras kolam utama(balancing reservoir-terminal reservoir-service reservoir);
5. Kawasan yang mengalami masalah gangguan bekalan air ;
6. Maklumat terperinci mengenai rangkaian paip air utama termasuk kolam air hingga ke kawasan yang bermasalah termasuk NRW;
7. Punca-punca utama (micro) yang menyebabkan kawasan tersebut mengalami masalah air;
8. Cadangan penyelesaian yang dirancang oleh SYABAS ke atas masalah yang dibangkitkan; dan
9. Emergency response plan yang disediakan oleh pihak SYABAS.
Berdasarkan
kepada hasil penelitian dan penyiasatan yang dibuat oleh jawatankuasa
ini selama tiga hari, kerajaan negeri Selangor merumuskan bahawa:
1.
Kerajaan Negeri Selangor akan mengemukakan cadangan kepada Lembaga
Pengarah SYABAS supaya memecat pengerusi eksekutif dan ketua pegawai
eksekutif SYABAS kerana tidak hadir memberikan penjelasan kepada jawatan
kuasa tersebut. Dengan pemecatan ini, penjimatan kos operasi dari gaji
pengerusi eksekutif SYABAS sahaja adalah berjumlah sekurang-kurangnya
RM5.1 juta setahun.
2. Kerajaan negeri Selangor bersedia
membelanjakan peruntukan bagi membina loji rawatan air baru untuk tujuan
meningkat kapasiti pengeluaran air terawat dan dengan serta merta akan
memanggil tender untuk Projek Mitigasi 2 yang berjumlah RM225 juta.
Langkah
yang diambil kerajaan Negeri ini bagi melindungi kepentingan pengguna
di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang terjejas kerana kegagalan
SYABAS membekalkan air bersih seperti yang dipersetujui dalam perjanjian
konsesi.
Kerajaan Selangor yakin kerajaan persekutuan tidak akan
cuba menyulitkan usaha yang dirancangkan ini demi menjaga kepentingan
dan kesejahteraan rakyat. - Mkini
* Gaji sebulan 400,000 lebih...fuh
