29 July 2012

Saya tidak kecewa - Nur Suryani penembak tunggal negara

LONDON - "Saya tidak kecewa, anak saya buat saya rasa tenang," kata penembak tunggal negara ke Sukan Olimpik London, Nur Suryani Mohamed Taibi selepas gagal meneruskan saingan 10 meter air rifle di Lapang Sasar The Royal Artillerry Barracks di sini, semalam.


Nur Suryani gagal menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik ke pusingan akhir selepas melengkapkan rutin dengan 392 mata (98, 97, 99, 98) untuk menduduki tempat ke-34 daripada 59 penyertaan, jauh daripada apa yang diharapkan untuk menempatkan diri dalam kelompok 10 penembak terbaik dunia.

Pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berpangkat leftenan itu mengakui tidak kecewa dengan keputusan yang diperolehinya kerana telah melakukan yang terbaik.
"Dapat mengambil bahagian di Olimpik sudah ibarat mimpi menjadi nyata.

"Saya buat (beraksi) macam biasa dan tidak berasa kecewa, malah saya bukan bertanding sebagai ibu tetapi sebagai orang biasa,'' ujarnya, yang dijadual melahirkan anak sulung pertamanya pada 13 September ini.

Pemenang pingat emas Sukan Komanwel Delhi 2010 dan gangsa Sukan Asia Guangzhou 2010 itu turut menjelaskan, dia berasa tenang sepanjang pertandingan walaupun adakalanya merasai pergerakan bayi (foetal movement) dalam kandungannnya.

"Saya berasa ada pergerakan anak dalam kandungan tetapi anak saya buat saya tenang.
"Bila dia menendang, saya cuma menarik nafas. Saya terus menarik dan menghembus nafas sepanjang sedang beraksi,'' kata penembak berusia 29 tahun itu lagi.

Malah, Nur Suryani sempat berseloroh dengan memberitahu anak dalam kandungannya yang bakal diberi nama, Dayana Widyan, supaya jangan nakal-nakal. "Saya beritahu dia, jangan nakal-nakal... cuba bertenang dan jangan banyak bergerak. Dia anak yang baik, dengar cakap saya dan dia memang anak yang bertuah."

Sementara itu, 10m air rifle wanita dimenangi penembak No. 1 dunia, Yi Siling dari China yang mengumpul 502.9 mata untuk menjadi pemenang pingat emas pertama Olimpik London.
Penembak Poland, Sylwia Bogacka yang mendahului di awal saingan terpaksa berpuas hati dengan perak selepas tercicir mata di pusingan kelapan.

China turut melengkapkan kemenangan pingat gangsa menerusi Yu Dan yang mencatat skor 501.5. - Mingguan