KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam
(Cuepacs) mencadangkan agar pekerja diberi pilihan untuk mengeluarkan
caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada umur 55 atau 60
tahun.
Setiausaha Agungnya Lok Yim Pheng berkata cadangan itu susulan maklum
balas daripada kumpulan pelaksana yang tidak bersetuju pengeluaran
caruman KWSP hanya pada umur 60 tahun.
"Kita perlu melihat tiga kategori pekerja iaitu berpendapatan tinggi,
sederhana dan rendah. Biasanya pekerja berpendapatan sederhana dan
rendah amat memerlukan wang untuk menyelesaikan hutang dan pinjaman
sebelum bersara. Ada yang menggunakan wang persaraan untuk pendidikan
anak-anak," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Sehubungan itu katanya isu tersebut mesti diteliti terlebih dahulu sebelum dilaksana.
Isu pengeluaran KWSP pada usia 60 tahun itu timbul susulan pembentangan
Rang Undang-undang Persaraan Minimum 2012 untuk bacaan kali pertama di
Dewan Rakyat pada bulan lepas, yang menetapkan umur persaraan minimum
pekerja swasta dilanjutkan kepada 60 tahun, berkuat kuasa Januari tahun
depan.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam dilapor berkata
kerajaan belum membuat keputusan berhubung had umur pengeluaran caruman
KWSP.
Pada ketika ini caruman KWSP boleh dikeluarkan apabila pencarum mencapai usia 55 tahun. - Bernama
