29 July 2012

Najib umum duit raya Felda RM43.2 juta

SIK, 29 Julai — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan pemberian wang Hari Raya berjumlah RM43.2 juta kepada kesemua peneroka Felda.


Najib berkata pemberian ini sebagai menghargai sumbangan peneroka kepada pembangunan Felda dan membantu perbelanjaan persiapan Hari Raya mereka.
Beliau berkata kadar ini terbahagi kepada dua kategori iaitu peneroka bersama Felda dan peneroka yang tidak bersama Felda.

Katanya 103,597 peneroka atau 91.9 peratus yang bersama Felda akan menerima RM400 seorang melibatkan peruntukan berjumlah RM41.4 juta manakala 9,038 orang atau 8.02 peratus peneroka yang tidak bersama Felda masing-masing menerima RM200 melibatkan peruntukan berjumlah RM1.8 juta.

Najib (gambar) berkata demikian pada majlis perasmian Program Rahmat Ramadan peringkat Kebangsaan di padang Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Beris Jaya di sini.

Pemberian wang Hari Raya kepada peneroka dilaksanakan sejak 2003. Bayaran pada tahun ini bertambah RM0.6 juta atau 1.39 peratus berbanding bayaran tahun 2011 iaitu RM42.6 juta. — Bernama