JELUTONG - "Kakak, saya cuma hendak beritahu kakak, tadi baru saja
tukang masak kami makan katak di dapur," bisik seorang pekerja kopitiam
kepada gadis yang mahu dikenali Alia ketika berhasrat membuka puasa di
sebuah pasar raya di Jelutong.
Ketika itu, Alia bersama rakannya berhajat berbuka puasa di kopitiam
berkenaan, bagaimanapun hasrat mereka terbantut apabila terdengar luahan
itu.
Mereka diberitahu tentang perkara itu ketika sedang berbual sementara menanti waktu berbuka.
"Pelayan itu memaklumkan perkara itu kepada kami memandangkan saya dan kawan-kawan datang dengan niat untuk berbuka puasa.
“Pelayan itu cuma beritahu tukang masak makan katak di bahagian dapur.
Katanya, ini bukan kali pertama tetapi sudah masuk kedua atau ketiga,”
katanya.
Alia dan rakan-rakannya yang terkejut dengan cerita itu kemudian
mempertikaikan sama ada tukang masak itu menggunakan kuali yang
digunakan sama untuk memasak makanan pelanggan atau sebaliknya.
"Bagaimanapun, pelayan itu mengaku tidak pasti. Tetapi katanya, yang
makan tetap tukang masak itu, apa pun dia akan pegang katak dan memasak
makanan untuk orang lain.
“Kata pelayan itu dia baru bekerja, dan dia bersama seorang lagi kawan
berbangsa Melayu yang nampak kejadian itu. Tetapi menurutnya, dia tidak
berani menegur kerana ramai pekerja di restoran itu adalah warga
asing,” katanya.
Katanya, ketika ditanya mengenai status halal, pelayan mengakui
restoran yang mempunyai francais di seluruh negara itu hanya memiliki
sijil halal untuk kopitiam mereka di Kuala Lumpur sahaja.
“Tapi saya tahu ramai yang ingat kami halal sebab di KL sudah halal.
Saya boleh beritahu saja, terpulang pada kakak,” kata pelayan restoran
itu kepada Alia.
Mendengar maklumat yang diberikan, Alia dan rakan-rakannya hilang
selera dan terus ke kedai lain untuk berbuka puasa memandangkan hari
sudah hampir Maghrib.
Alia kecewa kerana kopitiam berkenaan menjadi kunjungan orang ramai
termasuk pelanggan beragama Islam. Rata-rata yang berkunjung selalunya
memesan minuman dan makanan yang berasaskan mi dan pencuci mulutnya.
Mendengar cerita Alia, Sinar Harian ke restoran itu untuk mengintai kesahihannya.
Salah seorang pengunjung yang enggan dikenali mengakui rata-rata
pekerja di kopitiam berkenaan adalah warga asing khasnya Nepal dan
Bangladesh.
“Kadangkala mereka berbau busuk walaupun pada waktu bekerja. Tidak
dapat saya bayangkan bagaimana bau mereka ketika berada di dapur
menyediakan makanan dan mengambil pesanan pelanggan.
"Nampak saja kopitiam yang agak mahal dan selesa tetapi kebersihan pekerjanya memang mendukacitakan,” katanya.
Meneliti maklum balas orang ramai mengenai restoran berkenaan melalui
laman web, beberapa pelanggan turut memberikan pandangan negatif
terhadap kopitiam berkenaan.
Antaranya ialah melalui www.penangfoodreviews.com di mana pemilik blog tersebut jelas tidak berpuas hati perkhidmatan kopitiam berkenaan.
Dalam tulisan blogger itu, beliau turut memaklumkan harga yang
dikenakan juga agak mahal dan tidak berpatutan dengan kualiti makanan. - SH