Saya tertarik untuk mengulas tentang lagu tema sambutan kemerdekaan
negara ke-55 yang kini sedang hangat diperkatakan di kalangan rakyat
khususnya anak muda Malaysia.
Jika diteliti respon dan sambutan di laman-laman sosial seperti Facebook, Twitter dan
laman-laman blog, ternyata lagu Janji Ditepati yang mana liriknya
ditulis oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri
Rais Yatim ini diperlekeh dan dijadikan bahan jenaka oleh khalayak
internet khususnya di kalangan anak-anak muda.
Semakan saya di laman YouTube mendapati,
setiap video yang memaparkan lagu ini menunjukkan bilangan pengunjung
yang mengundi untuk tidak menyukai (dislike) jauh lebih tinggi
berbanding pengunjung yang mengundi untuk menyukai (like) video lagu
ini.
Malang bagi lagu ini kerana bukan hanya susunan muzik dan
melodinya yang cincai dan tidak teratur, bahkan apa yang jelas adalah
lirik lagu ini secara tersurat bersifat propaganda picisan dan bertujuan
untuk memesongkan minda rakyat dari menghayati matlamat sebenar
sambutan ulangtahun kemerdekaan negara.
Bermula dari rangkap awal
lagu ini yang mengungkapkan perumpamaan kabur -- "macam malam ikut
siang, macam bulan ikut matahari" -- diikuti dengan "satu Malaysia terus
berjuang, janji kita ditepati", pendengar pastinya gagal memahami apa
sebenarnya yang cuba disampaikan menerusi lagu ini.
Apa kaitan
malam, siang, Bulan dan Matahari dengan konsep 1Malaysia? Apakah
1Malaysia ini hanya retorik bersifat janji kosong sehingga objek-objek
angkasa lepas seperti Bulan dan Matahari pun boleh ditawarkan kepada
rakyat?
Maka dari rangkap awal lagi lirik pembukaan lagu ini sudah bermasalah dan gagal menyampaikan sebarang mesej kepada pendengar.
Pendengar
kemudiannya akan dibuai dengan lirik perihal "janji dikota" (kononnya)
dan kemudiannya bertemu dengan bait paling bermasalah iaitu "janji sudah
ditepati, kini masa balas budi". Persoalan yang timbul adalah janji
siapa yang sudah ditepati? Dan apa maksudnya "kini masa balas budi"?
Pendengar
yang bijak pasti akan dapat memahami bahawa lirik ini secara tersirat
bertujuan memerangkap minda khalayak seolah-olah Umno-BN (kerajaan
sekarang) telah berjaya menepati janji dan kini telah sampai masanya
rakyat (pendengar) supaya mengundi Umno-BN dalam pilihan raya umum akan
datang sebagai membalas budi atas janji-janji tersebut.
Lantaran
itu, timbul persoalan apakah kewajaran bagi sesebuah lagu yang
seharusnya bertemakan penghayatan kemerdekaan diolah sebagai medium
propaganda picis dan ditransformasikan menjadi lagu kempen untuk meraih
undi dalam pilihan raya?
Pada
bahagian korus pula, secara jelas dapat disimpulkan bahawa lagu ini
sebenarnya adalah wahyu penguasa yang diturunkan sebagai ingatan kepada
rakyat.
Ini berbeza dengan lagu-lagu tema sambutan kemerdekaan
sebelum ini khususnya di era Dr Mahathir Mohamad dan Abdullah Badawi
yang lebih berteraskan unsur kekitaan dan kebersamaan di antara pelbagai
lapisan rakyat.
Keseluruhan bahagian korus lagu ini jika
diteliti sememangnya tiada langsung penzahiran elemen patriotisme dan
penghargaan terhadap nikmat kemerdekaan yang dikecapi negara. Apa yang
ditonjolkan hanya sekadar memuja-muja dan mengangkat retorik kosong
janji 1Malaysia yang sehingga kini masih kabur dan mengelirukan.
Akhir
sekali adalah pada rangkap 'rap' -- lirik yang mengisi rangkap akhir
ini paling parah dan bersifat cacamarba. Entah apa yang bersarang dalam
benak si penulis lirik sehingga terhasil bait-bait lirik yang lemah,
dangkal dan membosankan.
Alangkah jeleknya bila mana lirik rap
pada rangkap terakhir itu diselit dengan istilah (Bantuan Rakyat
1Malaysia) BR1M, klinik dan kedai yang berorientasikan retorik
1Malaysia.
Apa kaitan BR1M, klinik dan kedai dalam proses
penyampaian mesej kemerdekaan dan semangat patriotisme kepada rakyat?
Ini langsung tiada kena mengena dengan semangat patriotisme.
Dan
paling memalukan adalah tatkala dihebahkan kepada khalayak bahawa
penulis lirik lagu ini merupakan seorang yang memegang jawatan menteri
dan bertanggungjawab menjaga portfolio kebudayaan.
Jelas,
menerusi lagu ini, Umno-BN cuba untuk memanipulasi sentimen patriotisme
bersempena sambutan ulangtahun kemerdekaan negara dengan menerapkan
propaganda lekeh dalam usaha terdesak mereka untuk meraih undi menjelang
PRU yang dijangka akan diadakan dalam tempoh terdekat ini.
Tidak
dapat tidak untuk disimpulkan bahawa tiada langsung sebarang elemen
patriotisme di dalam lagu ini melainkan puja-pujian dan sanjungan
melangit ke atas retorik 1Malaysia serta pujukan halus supaya rakyat
terus mengekalkan kuasa di tangan Umno-BN.
Semangat kemerdekaan dan nilai patriotisme langsung tidak dirasai di dalam lagu ini.
Justeru,
rakyat khususnya anak muda tidak wajar untuk terus membiarkan diri
mereka dihenyak dan diperbodohkan oleh propaganda sempit ini.
Kemerdekaan
seharusnya dirai dan dihargai dengan menghayati nilai patriotisme
berasaskan semangat pencerahan yang tulen; bukannya dengan propaganda
lapuk yang disandarkan pada sebuah lagu "kemerdekaan" paling buruk dalam
sejarah negara.
Najwan Halimi merupakan
Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia. Tulisan
ini merupakan pandangan peribadinnya dan tidak menggambarkan pendirian
rasmi Malaysiakini.
* Umno sudah sampai ke zaman kejatuhan atas 'kezaliman' yang mereka sendiri lakukan. Inilah masa yang paling baik melompat (bagi puak Umno) menaiki bahtera (Pakatan Rakyat) yang lebih selamat...