BANGKOK 28 Julai - Kumpulan pemisah menembak mati empat anggota
tentera dan mencederakan dua lagi di selatan Thailand awal hari ini
ketika keganasan dilaporkan terus meningkat di wilayah bergolak itu
sejak bermulanya Ramadan.
Sekumpulan enam anggota tentera itu diserang ketika mereka sedang meronda di sebatang jalan di daerah Mayo, wilayah Pattani.
Kira-kira 20 anggota kumpulan pemisah yang menaiki tiga buah pikap
melepaskan tembakan ke arah pasukan tentera itu," kata jurucakap tentera
selatan Thailand, Kolonel Pramote Prom-in.
Kejadian terbaru itu berlaku selepas satu letupan di tepi jalan yang
menyebabkan lima anggota polis maut di wilayah Yala, Rabu lalu.
Kumpulan pemisah sering melancarkan serangan di tiga wilayah di
selatan Thailand iaitu di Pattani, Narathiwat dan Yala sejak 2004.
Serangan bom dan tembakan yang mensasarkan anggota tentera dan orang
awam tanpa mengira agama sama ada Buddha atau Islam, kini telah meragut
lebih 5,000 nyawa dalam tempoh lapan tahun. - AFP