KUALA LUMPUR - Polis telah mengenalpasti individu yang bertanggungjawab
menghantar seorang lelaki dan seorang wanita di luar perkarangan
Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Putrajaya, Isnin lepas
sebelum mereka mengamuk.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Abdul Razak Abdul Majid berkata
individu tersebut dikesan melalui siasatan polis sejurus selepas
kejadian itu.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti individu terbabit kerana dikhuatiri akan menjejaskan siasatan.
"Kita sekarang sedang mencari pemilik kenderaan yang menghantar
pasangan itu. Kita juga turut menyiasat latar belakang lelaki dan wanita
yang mengamuk itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Pada hari berkenaan, Khalil Afandi Hamid, 47, yang mengaku dirinya
"Imam Mahadi" dan pasangannya yang bersenjatakan dua bilah pedang
samurai dan sebilah pisau pemotong daging mengamuk di perkarangan
Kompleks B, JPM di Putrajaya.
Dalam kejadian 2.30 petang itu, Khalil Afandi mati ketika dalam
perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas terkena tembakan di tangan dan
bahagian ari-ari manakala wanita berkenaan, bekas penuntut Universiti
Islam Antarabangsa Malaysia, terkena tembakan di paha kanan dan dirawat
di hospital sama. - Bernama
No comments:
Post a Comment