PEKAN - Pemberian imbuhan sempena Aidilfitri kepada penjawat awam
bergantung kepada kemampuan kerajaan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak.
Dengan wajah yang ceria, Najib berkata, beliau akan melihat 'buku kira-kira' kerajaan terlebih dahulu berhubung perkara itu.
"Nantilah kita semak-semak dahulu, belek-belek dahulu, kena
tengok-tengok buku kira-kira dahulu...kalau apa-apa pun kita semak
dahulu, apa-apa keputusan mesti berdasarkan kepada kemampuan kerajaan,"
katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tuntutan Kongres
Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengenai
pemberian imbuhan itu baru-baru ini.
Pada 16 Julai, Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman berkata, pihaknya sedang mencari pendekatan terbaik
bagi memastikan 1.4 juta penjawat awam mendapat imbuhan itu dan tidak
menyebabkan pihak tertentu mengambil kesempatan seperti menaikkan harga
barangan.
Najib ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan cek Durian Runtuh
Felda Fasa 2 dan pakaian kepada Pegawai-pegawai Masjid serta sumbangan
Apron kepada peniaga dan bantuan cermin mata kepada penduduk Pekan di
Dewan Umno Pekan, di sini.
Dalam ucapannya beliau menegaskan agar pihak yang tidak berpuas hati
dengan kerajaan tidak menghalang usaha kerajaan dalam memajukan negara.
Mengambil contoh penyenaraian saham Felda Global Ventures Holding Bhd
(FGVH) di Bursa Malaysia, beliau berkata, pihak yang cuba menghalang
disifatkan sebagai busuk hati kerana tidak suka melihat kerajaan
membantu meningkatkan kehidupan rakyat.
"Jangan halang usaha kerajaan untuk majukan negara dan rakyat, tidak
sokong tidak apa... dalam hal ini (penyenaraian FGVH) kita tak boleh
halang sebab ini adalah hal yang baik dan untuk kebaikan rakyat,"
katanya.
Bercakap kepada pemberita kemudian Najib berkata, jika peneroka ingin
membeli tambahan saham, mereka perlu membelinya di pasaran saham
terbuka.
"Pihak Felda perlu membantu peneroka untuk membelinya di pasaran
terbuka dengan harga semasa. Walaupun peneroka telah ditawarkan dengan
800 unit saham ketika saham tersebut dilancarkan mereka juga tetap dapat
keuntungan kerana 20 peratus saham FGVH telah dimasukkan ke dalam
tabung amanah yang akan membayar dividen setiap tahun kepada mereka,"
katanya.
Ditanya mengenai laporan akhbar berhubung senarai awal calon Barisan
Nasional yang ditolak 50 peratus daripadanya, Najib berkata: "Kita
belum memuktamadkan calon-calonnya dan kita akan memutuskannya apabila
tiba masanya, jadi semuanya hanya spekulasi. Umno pun belum, kita tengah
semak-semak dan belek-belek lagi," katanya. - Bernama
* Pandai pula tengok buku kira-kira bila kakitangan sendiri minta bonus Hari Raya...
