KUALA LUMPUR - Transaksi jual beli dan pelaburan emas Syarikat Genneva
Malaysia Sdn Bhd didapati tidak mematuhi sepenuhnya peraturan hukum
syarak dan undang-undang negara.
Ini disahkan oleh Pengerusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis
Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, Prof Emeritus Tan Sri
Abdul Shukor Husin dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini hari ini.
Beliau berkata, muzakarah tiga hari majlis itu bermula Rabu lepas
meneliti laporan dan hasil siasatan Bank Negara Malaysia terhadap
operasi jual beli dan pelaburan emas syarikat itu.
Katanya, operasi syarikat tersebut didapati tidak mematuhi sepenuhnya
Parameter Pelaburan Emas seperti diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa
Fatwa
Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke 96 yang diadakan pada 13 hingga 15 Jun lepas.
Kenyataan itu menasihatkan umat Islam tidak melibatkan diri dalam
aktiviti atau transaksi jual beli dan pelaburan emas oleh mana-mana
pihak, sama ada syarikat di dalam negara atau luar negara yang
bertentangan dengan prinsip jual beli emas seperti yang digariskan oleh
syarak dan undang-undang negara.
Abdul Shukor berkata, transaksi jual beli mestilah memenuhi semua rukun
jual beli yang digariskan hukum syarak, dan sesuatu transaksi dikira
tidak sah sekiranya tidak memenuhi salah satu rukun jual beli.
Beliau berkata transaksi juga hendaklah bebas daripada unsur-unsur
riba, perjudian, gharar yang berlebihan dan kezaliman. – Bernama
* Cuba tanya Dr. Asri, dia ni sayang pada umat sikit...
No comments:
Post a Comment