BANDARAYA MELAKA – Hari pertama bulan Ramadan dicemari dengan tingkah
laku warga emas beragama Islam tanpa segan silu menikmati sarapan pagi
di sebuah kedai makan bukan Islam.
Tanpa menghiraukan orang ramai yang lalu lalang, warga emas terbabit
dengan selamba menghirup hidangan kopi panas sambil menikmati roti
bakar.
Bagaimanapun, perbuatan mereka itu dikesan anggota Jabatan Agama Islam
Melaka (Jaim) yang bertindak menyerbu kedai makan berkenaan, pagi
semalam.
“Saya mengaku saya makan tadi,” kata warga emas berusia 65 tahun itu sebaik saja menyedari kehadiran anggota penguat kuasa.
Ketua Penguatkuasa Jaim, Rahimin Bani berkata, warga emas berkenaan
merupakan seorang daripada lima yang dicekup kerana makan di khalayak
ramai di bulan puasa.
"Kesemua mereka berusia 40 hingga 65 tahun itu, termasuk tiga
daripadanya sudah bergelar warga emas, di tahan di kawasan 'panas'
tempat tumpuan mereka yang ponteng puasa.
"Lebih mengejutkan, ada antara warga emas berkenaan sudah pun bergelar
datuk kepada sembilan orang cucu," katanya kepada pemberita ketika
mengikuti operasi berkenaan, semalam.
Rahimin turut melahirkan rasa kecewa kerana masih ada pengusaha kedai
makan Islam yang beroperasi di siang hari, sekali gus memberi ruang
kepada mereka yang tidak berpuasa.
“Tindakan peniaga ini mencemarkan imej umat Islam sendiri. Sepatutnya
mereka sama-sama menghormati Ramadan dan tidak mengambil kesempatan
untuk kejar keuntungan semata-mata," katanya.
Menurutnya, kesemua yang ditahan itu akan disiasat mengikut Seksyen 49
Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka yang memperuntukkan denda
RM1,000 dan penjara enam bulan.
Berikutan itu juga, katanya, Jaim akan terus melipat gandakan
penguatkuasaan untuk memastikan kesucian Islam sepanjang Ramadan ini
tidak diperlekehkan.
Katanya, ini termasuk tindakan terhadap mereka yang dikesan membeli nombor ekor pada bulan Ramadan. - SH