JOHOR BAHRU - Adik kepada seorang penyanyi wanita popular dijatuhi
hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini
selepas didapati bersalah menyamun seorang wanita rakyat Singapura, awal
tahun ini.
Hakim Zamri Bakar memerintahkan Mohd Faizal Abu Hasan, 29, yang bekerja
sebagai pembantu kedai makan menjalani hukuman berkenaan bermula dari
tarikh dia ditangkap, 15 Mac lepas.
Mohd Faizal yang berasal dari Kampung Melayu, Gelang Patah, di sini,
didakwa melakukan samun dengan merampas beg tangan milik warga
Singapura, Rohana Jamal, 30, di hadapan masjid, Taman Tampoi Indah,
Tampoi, di sini, kira-kira 1.15 tengah hari, 23 Januari lepas.
Dia yang sudah bercerai dan memiliki seorang anak perempuan berumur
tiga tahun didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 392 Kanun
Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh
didenda atau disebat.
Terdahulu, peguam Syed Ahmad Sadik Syed Ahmad Kabeer yang mewakili Mohd
Faizal memohon mahkamah untuk menangguhan pelaksanaan hukuman
berkenaan, bagaimanapun ditolak oleh Hakim Zamri.
Timbalan Pendakwa Raya Dzul Iswari Mohd Jaafar pula memohon mahkamah
mengenakan hukuman berat ke atas tertuduh kerana melibatkan kepentingan
awam memandangkan jenayah berkenaan kerap berlaku pada masa kini. –
Bernama
No comments:
Post a Comment