27 June 2012

Zahid: Suruhanjaya bebas siasat isu Scorpene tidak perlu

KUALA LUMPUR - Tidak ada keperluan menubuhkan Suruhanjaya Bebas menyiasat pembelian kapal selam baru Scorpene kerana pembelian kelengkapan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu dibuat mengikut Tatacara Pelaksanaan Kontrak-Kontrak Perolehan Peralatan Pertahanan Negara, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


Dipetik Bernama, beliau berkata, kerajaan juga berpendapat tidak timbul soal kerajaan akan memohon menjadi pemerhati di Mahkamah 'Tribunal de Grande Istance' kerana kerajaan difahamkan, tiada perbicaraan berlangsung di Perancis berhubung isu kapal selam Scorpene sepertimana yang didakwa sebuah badan bukan kerajaan, Suara Rakyat Malaysia (Suaram).
  
Katanya tatacara perolehan itu melibatkan pelbagai peringkat kelulusan termasuk Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Rundingan Harga setelah penilaian teliti dibuat bagi memastikan perolehan itu menepati keperluan ATM.
  
"Rujukan juga dibuat kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan kelulusan ke atas klausa-klausa kontrak tersebut. Semua terma dan kelulusan rundingan terus dikemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk diluluskan," katanya ketika menggulung ucapan penangguhan oleh Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) di Dewan Rakyat malam tadi.
  
Nurul Izzah dalam ucapannya memohon penjelasan kerajaan berhubung dakwaan kononnya berlaku pendedahan isu komisen bernilai kira-kira 114 juta euro (1 euro = RM3.99) kepada syarikat di Malaysia dan penjualan dokumen rasmi sulit Kementerian Pertahanan mengenai kapal selam Scorpene kepada syarikat Perancis.
  
Beliau turut membangkitkan mengenai siasatan kes itu oleh 'Tribunal de Grande Istance', Perancis seperti yang didakwa oleh Suaram di Bangkok pada Mei lepas.
  
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut mengemukakan beberapa cadangan termasuk penubuhan Suruhanjaya Bebas bagi menyiasat isu pembelian perolehan pertahanan negara itu.
  
Menjelas lanjut, Ahmad Zahid sekali lagi menegaskan bahawa kementerian tidak pernah membayar sebarang komisen sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada mana-mana syarikat dalam perolehan kapal selam Scorpene.
  
Perolehan kapal selam tersebut dibuat secara runding terus selaras dengan tatacara perolehan kerajaan dengan syarikat pembuat di Perancis dan Sepanyol yang telah mendapat persetujuan kerajaan masing-masing.
  
"Kenyataan Anggota Parlimen Lembah Pantai bahawa dua buah kapal selam Scorpene dibeli daripada Syarikat Thales International adalah tidak benar," katanya.
  
Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa Kementerian Pertahanan tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai dakwaan penjualan dokumen yang dikatakan rahsia oleh Syarikat Terarasi (Hong Kong) kepada Syarikat Thint Asia yang didakwa bernilai 36 juta euro.
 
"Kementerian juga tidak mempunyai maklumat dakwaan bayaran secara berkala daripada Thint Asia kepada Syarikat Terarasi," katanya.
  
Selain itu, Ahmad Zahid berkata kerajaan berpendapat tidak perlu untuk menubuhkan Jawatankuasa Tetap Parlimen untuk pertahanan.
  
"Ini kerana sebarang rancangan pembelian kelengkapan tentera adalah dinyatakan dalam anggaran belanjawan pembangunan yang mana dibahas dan diluluskan oleh Parlimen," katanya. - SH

* Yang perlu sekarang adalah jatuhkan Umno pada pilihanraya nanti...

No comments:

Post a Comment