16 June 2012

Timbalan Ketua Polis Kuala Krai antara 3 maut kemalangan

Timbalan Ketua Polis Kuala Krai, Deputi Superintenden Ab Wahab Yaacob dan seorang anggotanya berpangkat sarjan meninggal dunia dalam satu kemalangan dekat sini awal pagi tadi.
Kemalangan kira-kira jam 1 pagi  itu, yang berlaku di Kampung Labok, turut mengorbankan seorang wanita,
Membunga  Mamat, 60.

Sarjan Kadir Kumin bertugas di Cawangan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, Abdul Wahab, 56, dan Abd Kadir Kumin, 48, dalam perjalanan dari arah Kuala Krai ke Kota Bharu sebelum kejadian.
Katanya, kenderaan jenis BMW yang dipandu Abd Kadir bertembung dengan sebuah Pajero yang datang dari arah bertentangan.

“Pemandu Pajero terbabit yang juga anak kepada Membunga, Mohd Saari Asmawi, 36 cedera parah dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.
"Punca kejadian masih disiasat dan kedua-dua kenderaan dipercayai dipandu laju. Jenazah Abdul Wahab akan dihantar ke  Kuala Lumpur manakala Abd Kadir akan dihantar ke kampung halamannya di Ulu Chenka, Jerantut, Pahang," katanya.

Beliau turut hadir di tempat kejadian dan Hospital Machang.
Abdul Wahab difahamkan baru memulakan tugasnya di IPD Kuala Krai sebulan lalu.
Sementara itu, adik Membunga, Napisah, 58, berkata, kakaknya bersama anak, mertua dan dua orang cucu dalam perjalanan pulang ke Gua Musang selepas menghantarnya ke Bachok.
“Mereka sekeluarga menghantar saya pulang ke Kampung Kubang kawah, Bachok selepas saya ke Gua Musang bagi meraikan perkahwinan anak arwah.

“Saya hanya mengetahui kejadian ini kira-kira jam 3 pagi selepas menerima panggilan daripada Balai Polis Machang,” katanya.
Anak Abd Kadir, Farid Ikhwan, 21, berkata, dia mengetahui kejadian itu kira-kira jam 2.30 pagi.
“Kali terakhir saya berjumpa ayah dua minggu lalu,” katanya yang tinggal di Kubang Kerian.
Orang ramai yang melihat kejadian tersebut diminta tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan di Ibu Pejabat Polis Daerah Machang atau menghubungi Pegawai Penyiasat,  Inspektor Zolkifli Said di talian 09-9751223. - SH

No comments:

Post a Comment