21 June 2012

Ramlah Ram Enggan Fikir Soal Kahwin Selepas Bercerai

Ramlah Ram tidak lagi berfikir soal
kahwin namun tidak menolak jodoh
 jika ditentukan Allah. Foto AHMAD IZRAFFIQ ALIAS.
KUALA LUMPUR: Penyanyi Ramlah Ram tidak mahu lagi memikirkan soal kahwin selepas kegagalan rumah tangga bersama Penerbit Rancangan Unit Sukan di Radio Televisyen Malaysia (RTM), Kamal Roslim dua tahun lalu.

Ramlah, 47, berkata, pada ketika ini pemikirannya tidak lagi tertumpu kepada soal tersebut sebaliknya mahu memberi tumpuan yang lebih mengenai kerjaya dan masa depan.
"Saya tidak pernah terfikir pun pasal jodoh kerana saya terlalu sibuk dengan perkara lain apatah lagi ketika usia sudah mencecah 40-an, perkahwinan bulan lagi menjadi keutamaan saya," ujarnya kepada mStar Online semasa ditemui selepas rakaman program Fenomena Raya di Angkasapuri di sini.

Bagaimanapun kata Ramlah, jika ada jodoh daripada Allah suatu hari nanti, dia tidak akan menolaknya.
"Nak kata serik berkahwin tidak sama sekali, namun kalau sudah ditakdirkan saya bertemu jodoh saya terima sahaja," katanya.
Dalam pada itu, Ramlah berkata, walaupun bersendirian dia tidak pernah berasa sunyi kerana kehidupannya sering dikelilingi dengan anak saudara dan kaum keluarga.

Malah kata Ramlah, keluarganya juga tidak pernah membangkitkan soal perkahwinan dan menyerahkan sepenuhnya kepada dia.
"Anak-anak buah saya ramai untuk menceriakan saya dan membolehkan saya menumpang kasih sayang. Soal kahwin untuk kali kedua tidak pernah menjadi isu kepada saya malah keluarga juga sentiasa berada di belakang menyokong saya," katanya.

Sementara itu, Ramlah berkata, dia bakal muncul dengan single terbaru berjudul Seandainya hasil ciptaan ID Mifzal dan Zie Syafruddin yang pernah menghasilkan lagi Sesaat Kau Datang.

Ramlah berkata, dia sangat bersyukur apabila kelab peminatnya iaitu Ramlah Ram Group (RRG) yang telah bertungkus lumus bagi memastikan lagu terbarunya itu siap.

"RRG adalah tulang belakang saya yang banyak membantu menghasilkan lagu, promosi, publisiti dan sebagainya untuk saya. Mereka bukan sekadar peminat setia tetapi adalah sahabat baik saya.
"Jasa mereka tidak mampu saya balas sehingga akhir hayat," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Ramlah memberitahu, RRG juga merancang untuk menghasilkan sebuah album mini yang akan dipasarkan selewat-lewatnya penghujung tahun ini.
Ramlah menjelaskan, sebanyak lima lagu akan dimuatkan dalam album itu nanti seperti Cinta Gila, Benar Mencintai, Sesaat Kau Datang, Seandainya dan Sejadah Cinta. - Mstar

No comments:

Post a Comment