14 June 2012

PR dedah video dakwa MPnya ditawar RM2 juta sertai BN

KUALA LUMPUR – Pakatan Rakyat (PR) mendakwa Barisan Nasional (BN) menggunakan taktik kotor dalam meraih sokongan dan menguasai majoriti dua per tiga dalam Dewan Rakyat.
Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Khalid Samad berkata, perkara itu disahkan melalui rakaman video daripada kamera litar tertutup (CCTV) yang mengandungi perbincangan antara lima orang di sebuah restoran di sekitar Lembah Klang, setahun yang lalu.

“Pertemuan itu melibatkan dua wakil Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan dua ejen mewakili BN serta seorang pemandu kepada ejen. Mereka membuat tawaran bernilai RM2 juta sekiranya Ahli Parlimen PR keluar parti.
 

“Salah seorang daripada ejen ini ialah bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Zamil Ibrahim yang kini mengaku dirinya sebagai pemimpin Parti Kesejahteraan Tanah Air (Kita),” katanya kepada pemberita selepas tayangan video itu di pejabat Ketua Pembangkang di Bangunan Parlimen, hari ini.
Khalid berkata, rakaman yang didedahkan selama tiga minit 41 saat itu adalah sebahagian daripada rakaman penuh yang berlangsung selama tiga jam dan dirakam selepas beberapa Ahli Parlimen dari PKR seperti Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan juga Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong meninggalkan parti itu.

“Video ini membuktikan bahawa pembelian ahli parlimen PR memang dijalankan oleh ejen-ejen ini, malah ada nama yang disebut dalam perbualan itu merujuk kepada mereka yang telah meninggalkan parti.
“Sebelum ini kita tidak ada bukti, tapi sekarang kita ada bukti dan kita mintak orang yang dinamakan (Zamil) memberi respons,” katanya.

Dalam sidang media sama, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail turut mempersoalkan kemewahan yang diperoleh Zamil sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Zamil katanya, kini tinggal di banglo mewah di Kelab Cinta Sayang, Sungai Petani dan memiliki beberapa kereta mewah sedangkan beliau mengenali Zamil dengan latar belakang sebagai penjual burger dan isterinya menjual alat kosmetik tradisional.

“Dengan latar belakang itu, tidak diketahui dia ada perniagaan yang dapat laba tinggi,” katanya.
Sementara itu, Zahrain ketika ditemu bual media berkata, beliau tidak pernah ditawarkan wang ringgit untuk keluar parti ketika masih dalam PKR, dua tahun lalu.
“Saya tidak tahu dan tidak terlibat mengenai ejen rahsia serta tidak pernah ditawarkan apa-apa untuk keluar PKR, sebab itulah saya menjadi wakil rakyat Bebas di Parlimen. Saya bebas mengkritik pembangkang mahupun kerajaan.

“Apa yang saya tahu mengenai kes membeli Ahli Parlimen ini, ia bukan kes baru kerana sebelum ini ia pernah berlaku di Taiwan apabila Ahli Parlimen BN ditawarkan untuk masuk PR," katanya lagi.
Katanya, beliau jelas mengenai kes berkenaan malah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut melakukan perkara itu dengan mengejar Ahli Parlimen BN.

“Wang ringgit bukan boleh beli semua orang, tapi kalau kata nak beli, berhubung kait dengan isu 16 September itu saya tahu, dengan jelas ada yang mahu beli Ahli Parlimen BN. PR sendiri, Anwar sendiri, pernah telefon setiap ahli BN untuk lompat parti,” katanya. - SH

No comments:

Post a Comment