JOHOR BAHRU - "Tolong bang, kereta aku kena curi." Itulah ayat terakhir yang sempat diucapkan Nor Firdaus Abdul Ghani, 21, sebelum maut akibat terjatuh dari tingkat 16, Flat Larkin Perdana, di sini kira-kira jam 3 pagi semalam.
Sebelum kejadian, mangsa yang berada di kediaman seorang rakan, dikatakan cuba mengambil telefon bimbit yang terjatuh ke bawah beranda semasa meninjau kereta jenis Honda EK miliknya yang disyaki dicuri.
Abang sulung mangsa, Nor Hisham Abdul Ghani, 37, berkata, Nor Firdaus sempat meminta pertolongannya dan memaklumkan mengenai kejadian curi kereta itu sebelum terjatuh dari flat tersebut.
“Kira-kira jam 3.12 pagi, dia hubungi saya dan maklumkan keretanya dicuri orang tidak dikenali dari tempat letak kereta tingkat bawah flat itu.
“Katanya, dia tiba-tiba terdengar bunyi enjin keretanya dihidupkan lalu meninjau ke bawah tingkap dan nampak keretanya dipandu seseorang,” katanya.
Nor Hisham yang menetap di Kuala Lumpur berkata, ketika kejadian dia berada di sekitar Permas Jaya atas urusan kerja dan tiba di lokasi berkenaan kira-kira 15 minit kemudian, namun mendapati adiknya sudah meninggal dunia.
“Dalam perjalanan ke lokasi kejadian, saya cuba hubungi adik (Nor Firdaus) tetapi tidak berjawab, saya tidak menyangka rupanya kejadian buruk berlaku.
“Adik memang kerap datang ke sini untuk melawat rakannya dan dimaklumkan berada di flat itu sejak jam 10 malam (kelmarin).
“Kali terakhir dia menghubungi saya, dia sempat meluahkan rasa terkilan mengenai kehilangan keretanya yang baru dimiliki sejak setahun lalu dan sudah diubah suai dengan kos kira-kira RM40,000,” katanya.
Menurutnya, tambah memilukan apabila anak keenam daripada lapan adikberadik itu sempat memeluk erat bapanya sambil mengucapkan selamat hari bapa sebelum keluar dari rumah mereka di Felda Papan Timur, Kota Tinggi, kelmarin.
“Sebelum ini dia tidak pernah berkelakuan seperti itu, ayah merupakan insan paling sedih menerima berita kematian adik.
“Kami juga terkilan kerana adik pernah meluahkan hasrat untuk bertunang dengan wanita pilihannya pada tahun ini, namun hasratnya tidak kesampaian,” katanya.
Jenazah Nor Firdaus selamat dikafan dan dituntut di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini kira-kira jam 2.30 petang semalam, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Papan Timur.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian yang berlaku namun memberitahu, pihaknya masih belum menerima laporan polis berhubung kejadian curi kenderaan berkenaan. - SH
No comments:
Post a Comment