14 June 2012

Maut ditembak ketika isi minyak

SEGAMAT 12 Jun - Seorang lelaki warga emas maut akibat ditembak sebanyak enam das dari jarak dekat ketika mengisi petrol kenderaannya di sebuah stesen minyak di Jalan Genuang di sini hari ini.
Kejadian berlaku pada pukul 7.45 pagi ketika mangsa, Lim Ching Hoon, 63, yang sedang leka mengisi petrol tiba-tiba dihampiri dua lelaki menaiki motosikal dan melepaskan tembakan mengenai kepala, dada dan kakinya.

Difahamkan, mangsa baru keluar dari rumahnya yang terletak tidak jauh dari stesen minyak dan dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur atas urusan kerja.
Menurut sumber yang enggan dikenali, mangsa mati di tempat kejadian kerana cedera parah.

"Walaupun mangsa sudah terbaring dan berlumuran darah, suspek terus melepaskan tembakan.
"Bagaimanapun, kedua-dua suspek gagal dikenal pasti kerana memakai topi keledar penutup penuh," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Dalam pada itu, polis menolak kemungkinan kejadian tersebut bermotifkan rompakan kerana barangan berharga milik mangsa tidak diusik.
Polis juga percaya suspek menggunakan senjata api semi automatik berdasarkan kelongsong peluru yang ditemui.

Sementara itu, ahli keluarga mangsa memberitahu bahawa Ching Hoon adalah pemilik sebuah kedai alat pertukangan di sini dan juga presiden sebuah kelab sukan tempatan.
"Dia (mangsa) memang selalu berulang-alik ke Kuala Lumpur dan akan berlepas ke luar negara pada hujung minggu ini. Kami tidak pasti punca dia dibunuh," kata seorang daripada ahli keluarga mangsa.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff mengesahkan kejadian itu dan memberitahu kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut diharap tampil membantu polis dengan menyalurkan maklumat. - utusan

No comments:

Post a Comment