24 May 2012

Umno: Cara PM selesai masalah, bukan debat


Datuk Seri Tengku Adnan Mansor
Datuk Seri Tengku Adnan Mansor

SHAH ALAM - Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, tidak perlu diadakan debat terbuka antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tengku Adnan menganggap bahawa perdebatan bukanlah jalan penyelesaian dalam merungkai pelbagai masalah, sebaliknya pendekatan Perdana Menteri yang lebih gemar turun padang dan menyelami kehendak rakyat diaplikasikan untuk pengurusan dan pentadbiran negara ini.

“Apa yang jelas, tindakan mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib mengadakan debat sebagai jalan menyelesaikan masalah adalah sesuatu yang tidak logik untuk dilakukan dan tentunya sebagai pemimpin berjiwa besar saya fikir tidak ada keperluan untuk Perdana Menteri menerima cadangan tersebut,” kata beliau dipetik Umno Online, hari ini.

Tengku Adnan juga berkata, pada pandangan beliau Perdana Menteri tidak perlu melayan tuntutan debat, apatah pula dengan "ketua pembangkang yang seringkali melihat kepada sudut negatif semata-mata untuk menjatuhkan kerajaaan yang telah memajukan negara."

“Berdasarkan beberapa siri debat yang telah berlangsung sebelum ini didapati bahawa ia lebih cenderung untuk dimanipulasikan oleh pihak pembangkang selain memainkan emosi tanpa mengguna pakai ilmu yang ada," katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa perdebatan yang diadakan adalah ikutan daripada budaya politik di Amerika Syarikat dan Eropah yang berbuat demikian menjelangnya pemilihan presiden mereka.

"Kenapa kita mesti terikut-ikut dengan acuan dari Barat sedangkan kita sendiri mempunyai sistem pentadbiran yang lancar dan berpandukan kepada demokrasi terpimpim,” kata Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN).

Tengku Adnan juga mengkritik Pakatan Rakyat (PR) yang seringkali mencari populariti dengan melakukan provokasi dan cuba mengusulkan keperluan debat dibuat sedangkan keutamaan adalah rakyat dan negara.

“Sebagai pemimpin yang amanah dan melaksanakan tanggungjawab tentunya Perdana Menteri lebih mengutamakan kehendak rakyat keseluruhannya daripada memenuhi tuntutan segelintir pembangkang yang kerapkali lebih bersifat provokatif.

“Ini bukanlah perkara baru kerana umumnya, penerimaan ikhlas kerajaan akan dijadikan satu permainan sebagaimana perpaduan dan muzakarah yang turut disensasikan sebagai satu isu atas tujuan mengekalkan populariti pemimpinnya yang tenggelam kerana gagal dalam pentadbiran,” katanya lagi.

Tegasnya, pihak pembangkang hanya tahu memanipulasi isu dan melakukan provokasi kepada kerajaan dengan harapan rakyat akan terpengaruh dan memberikan sokongan kepada mereka.

“Pembangkang gagal melakukan kebajikan dan kemajuan kepada masyarakat dan lantaran itulah mereka tiada punca untuk dicanangkan selain daripada mencari kesalahan dan memanipulasikan kepimpinan Umno-BN,” katanya lagi. -SH

* Kalau takut, Najib tak layak jadi PM Malaysia...

No comments:

Post a Comment