19 May 2012

Penjenayah ditembak mati, polis cedera

KUANTAN - Seorang penjenayah yang melarikan kenderaan polis ditembak mati dalam satu kejadian tembak-menembak di KM 249.2 dekat Jabor di sini, awal hari ini.

Suspek, Chiang Hon Hing, 39, berasal dari Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur mati akibat terkena tembakan di perut.

Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata, suspek sebelum itu bertindak melarikan kenderaan anggota peronda trafik Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), di jalan susur masuk ke tol Lanchang menghala ke Kuantan.

"Kira-kira 1.10 pagi, dua anggota peronda trafik LPT telah membuat pemeriksaan ke atas kereta suspek yang berhenti di tepi jalan susur masuk tol Lanchang menghala ke Kuantan.

"Semasa pemeriksaan, tiba-tiba suspek mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan tembakan ke arah anggota polis berkenaan tetapi tidak mengenai anggota peronda terbabit," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudiannya melarikan kenderaan polis itu manakala sebuah lagi kereta peronda LPT yang melalui kawasan berkenaan bertindak mengejar suspek yang menghala ke Kuantan.

"Sampai di KM 113.6, suspek telah berhenti di tepi LPT dan menyamun sebuah kereta Proton Waja yang dinaiki dua lelaki. Kedua-dua lelaki berkenaan tidak dicederakan," katanya.

Sharifuddin berkata, suspek terus melarikan diri sehingga ke Tol Jabor dan apabila ternampak sekatan jalan raya di situ, dia bertindak berpatah balik menghala ke arah Kuala Lumpur.

Katanya apabila tiba di KM 249.2 dekat Jabor, suspek memberhentikan kenderaannya yang dipercayai mengalami kerosakan dan ketika diperiksa oleh anggota peronda trafik LPT, dia bertindak melepaskan tembakan yang mengenai tangan kanan Lans Koperal Mohd Jarizan Md Jid.

"Polis berjaya menembak mangsa di bahagian perutnya dan disahkan mati ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan (HTAA)," katanya.

Beliau berkata, polis turut menemui sepucuk pistol jenis Baretta, yang digunakan suspek dalam kejadian berbalas tembakan itu.

"Siasatan awal mendapati suspek terbabit dalam beberapa kes jenayah sebelum ini seperti curi kereta dan dadah. Kereta jenis Honda yang digunakan suspek di Lanchang itu juga adalah kenderaan curi yang dilaporkan hilang malam tadi," katanya.

Sementara itu, Mohd Jarizan ketika ditemui di HTAA berkata, dia bersyukur kerana selamat dalam kejadian tembak-menembak itu. - Bernama

No comments:

Post a Comment