20 May 2012

Motif rompakan jalanan

LOS ANGELES: Dua lelaki ditahan kelmarin kerana disyaki menembak mati dua pelajar China dekat kampus Universiti Southern California (USC), bulan lalu.

Ketua Polis Los Angeles, Charlie Beck, berkata Javier Bolden, 19 dan Bryan Barnes, 20, ditahan kerana disyaki membunuh.

Katanya, Barnes ditahan di rumah dekat kampus tengahari kelmarin dan Bolden ditahan beberapa jam kemudian di Palmdale. Kedua-dua mereka ditahan tanpa ikat jamin.

Ming Qu dari Jilin dan Ying Wu dari Hunan, China, ditembak mati pada 11 April ketika duduk di dalam kereta BMW, kira-kira satu batu dari kampus USC. Kedua-dua pelajar itu berusia 23 tahun.

Beck berkata, motif pembunuhan masih disiasat tetapi “bukti menunjukkan rompakan jalanan.”


Katanya, penyiasat percaya, pembunuhan Wu dan Qu adalah sebahagian daripada beberapa jenayah yang berlaku di Los Angeles.

“Bukti forensik yang diperolehi dari tempat kejadian menghubungkan mereka dengan dua lagi percubaan bunuh,” katanya.

Bukti material ditemui menghubungkan kedua-dua suspek dengan Wu dan Qu, katanya.

Pembunuhan Wu dan Qu menyebabkan pelajar gempar. USC mempunyai bilangan pelajar antarabangsa terbesar di Amerika Syarikat.

Kira-kira 19 peratus daripada 38,000 pelajar di universiti itu adalah pelajar luar, termasuk 2,500 dari China.

Menurut polis, selepas kejadian tembak, Wu ditemui di tempat duduk penumpang BMW, manakala Qu di tangga rumah berdekatan di mana dia terlantar ketika cuba mendapatkan bantuan. - AP

No comments:

Post a Comment