08 May 2012

Hasan Ali enggan ulas fatwa demo Qaradhawi

Pengerusi Jalur Tiga (JATI) Datuk Hasan Ali berkata beliau tidak dapat mengulas pandangan ulama disegani Yusuf Al-Qaradhawi yang menyebut bahawa perbuatan menyertai demonstrasi sebagai satu perkara harus bagi orang Islam.


Namun, beliau berkata pandangan Qaradhawi itu tidak hanya terhenti setakat mengharuskannya sahaja.

"Saya tidak fikir dia kata boleh (berdemonstrasi), habis di situ. Saya tidak fikir begitu. Tapi boleh (berdemonstrasi) kalau tujuannya murni, kalau anggota yang melaksana mempunyai akhlak, syariat yang jelas," katanya.

Hasan bagaimanapun berkata beliau tidak dapat mengulas lanjut fatwa yang dikeluarkan Qaradhawi kerana beliau hanya seorang ahli politik dan bukannya seorang mufti atau seorang ahli fikah.

"Saya bukan mufti saya tak berani nak kata harus tak harus. Setiap kes harus dilihat mengikut sudut tertentu," katanya.

Beliau ditanya demikian kerana fatwa oleh Qaradhawi dibuat atas perjalanan demonstrasi di Dataran Tahrir di Mesir untuk menuntut demokrasi yang turut melibatkan keganasan dan pergeseran dengan pasukan keselamatan.

Fatwa oleh Qaradhawi itu ditimbulkan ketua penerangan PKR Dr Muhammad Nur Manuty dalam satu kenyataan semalam.

Ia antara lainnya menyatakan bahawa demonstrasi harus kerana merupakan "salah satu kaedah untuk membebaskan rakyat dari cengkaman pemerintahan yang zalim, tidak adil serta tidak memberikan kebebasan rakyat bersuara dan bergerak dalam suasana yang aman."

Namun, Hassan tetap mempertahankan keputusan Ahad lalu oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan menyertai demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta mencetuskan huru-hara dan kekacauan.

"Tak perlu ragu, kita lantik mereka mesti sebab mereka berilmu... Ada di antara mereka yang hafal hadis dan hafal al-Quran.

"Fatwa ini bukan senang-senang, saya tahu bukan mudah. Entah berapa kitab yang mereka rujuk," katanya.

Beliau juga percaya keputusan jawatankuasa itu hanya merujuk kepada perhimpunan seperti BERSIH 3.0 yang berlangsung pada 28 April lalu.

Jelasnya, beliau tiada masalah dengan tujuan asal perhimpunan tersebut untuk menuntut pilihan raya bersih dan adil.

"Tapi bila sampai ke lapangan, hendak merdekakan Dataran Merdeka, jadi mini revolusi pula yang hendak diketengahkan," katanya.

Perkara sama dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Jumaat lalu – bahawa perhimpunan BERSIH 3.0 diadakan untuk mengguling kerajaan yang dipilih secara demokrasi.

Kumpulan berkenaan juga berhasrat untuk menawan Dataran Merdeka seperti di Dataran Tahrir, Mesir bagi menunjukkan gambaran bahawa kerajaan tidak boleh mengawal keadaan, kata Najib. - Malaysiakini

No comments:

Post a Comment