18 May 2012

Bersih 3.0: 2 anggota polis didakwa kasari jurugambar

KUALA LUMPUR - Dua anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang jurugambar pada perhimpunan Bersih 3.0, 28 April lalu.


Lans Koperal Mohd Khairul Asri Mohd Sobri, 30, dan Konstabel Shahrul Niza Abd Jalil, 24, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap jurugambar Guang Ming Daily, Wong Onn King, 33.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di persimpangan Jalan Tun Perak dan Jalan Raja, di sini, antara jam 5.20 petang dan 5.30 petang.

Mohd Khairul Asri, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis (IPD) Tanjung Malim, Perak manakala Shahrul Niza, dari IPD Dang Wangi.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farizul Hassaniah Bakri menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Salim Bashir, yang mewakili kedua-dua anggota polis, membantah atas alasan jaminan yang ditawarkan pendakwaan adalah terlalu tinggi.

Salim berkata kedua-dua anak guamnya juga berpendapatan rendah.

Majistret Zulkipli Abdullah membenarkan mereka diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga menetapkan 18 Jun depan untuk sebutan kes.

Kedua-dua anggota polis dilihat membayar jaminan tersebut. - SH

* Kumpulan BERSIH itu hendak perjuangkan mereka yang berpendapatan rendah. Gunakan fikiran semasa bertugas...

No comments:

Post a Comment