KUALA KANGSAR 16 Mei - Jawatankuasa Kerja Pelaksana Menangani Isu Beban Tugas Guru sedang melaksanakan 28 perakuan bagi menangani 14 isu yang memberi kesan terhadap beban tugas guru termasuk memperkenalkan sistem tunggal kemasukan data.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jawatankuasa itu antara lain memperkenalkan Sistem Pengurusan Sekolah bagi menangani keluhan guru yang terbeban dengan penggunaan pelbagai sistem kemasukan data pada masa ini.
''Sistem ini telah dilaksanakan secara rintis di 88 buah sekolah dan dijadualkan semua sekolah di bawah Kementerian Pelajaran akan menggunakan sistem baru ini menjelang 2013," katanya ketika berucap merasmikan perayaan sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-41 di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya juga sedang menjalankan kajian rintis bagi penempatan Pembantu Tadbir N17 sehingga Jun 2012 untuk melihat impak kakitangan itu bagi mengurangkan beban tugas perkeranian guru.
Selepas kajian itu, katanya, satu cadangan akan dikemukakan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam bagi memperluaskan penempatan kakitangan Pembantu Tadbir N17 di sekolah-sekolah di bawah kementerian.
''Bagi menangani isu beban tugas guru itu juga, semua Jabatan Pelajaran Negeri telah melaksanakan pemansuhan ujian dan peperiksaan setara serta menambah baik pengendaliannya di peringkat sekolah.
''Oleh itu, pada tahun ini, hanya satu peperiksaan setara sahaja dibenarkan. Pemansuhan sepenuhnya ujian dan peperiksaan setara akan dikuat kuasa mulai 2013, iaitu semuanya akan dijalankan di waktu pengajaran dan pembelajaran," katanya.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, Kementerian Pelajaran komited untuk mencapai sasaran 60 peratus guru siswazah di sekolah rendah dan 90 peratus di sekolah menengah menjelang tahun 2015.
Sehingga kini, katanya, program pensiswazahan guru telah berjalan lancar dengan 69.6 peratus daripada 66,124 guru yang disasarkan telah menerima tawaran mengikut pengajian di institusi pengajian tinggi. - Utusan
No comments:
Post a Comment