29 April 2012

Saya mangsa keadaan - Zahida Rafik

KALI terakhir menjejakkan kaki ke lokasi penggambaran lima tahun lalu, Zahida Rafik, 37, ternyata tidak perlukan pencapaian dalam lakonan untuk diburu sensasi. Dua minggu kebelakangan ini, kisah skandal Zahida yang dikaitkan dengan seorang pemimpin bertaraf menteri tidak habis-habis dikorek dan dicari akar punca.

Impak paling hebat untuk jelitawan seperti Zahida, menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu sendiri memberi kenyataan akhbar menafikan dakwaan satu pihak bahawa dirinya menaja hidup pelakon itu sehingga sanggup berhabis sehingga RM1.5 juta sebagaimana yang didakwa.

Pucuk dicita ulam mendatang, berdasarkan satu maklumat bahawa Zahida akan membuat penampilan sempena satu majlis pelancaran koleksi Nur of Alexandaria dan program amal anjuran Persatuan Kebajikan Ikatan Ukhuwah di Galaxy, Ampang, Sensasi Bintang tidak melepaskan peluang turun padang.

Biarpun sangat berhati-hati memberikan komen atas segala kontroversi, pelakon Kuliah Cinta dan Senario The Movie itu sedikitpun tidak menunjukkan reaksi marah mahupun melenting.

"Saya okey sahaja, saya tenang dan saya masih kuat berdepan semua ini atas sokongan keluarga dan pasukan saya (Persatuan Kebajikan Ikatan Ukhuwah) ini," katanya sambil menidakkan rasa malu untuk bertemu masyarakat.

Tindakannya berdiam diri dan tidak melayan pertanyaan media selama ini juga dibuat atas nasihat peguamnya sendiri, Datuk Seri Shafee Abdullah.

Ditanya, sanggupkah dia berdepan segala pembongkaran sekiranya kes itu nanti dibicarakan di mahkamah, Zahida juga tidak berkerut dahi. Tiada sebab untuk dia merasa gentar kerana yakin, semua cerita yang seolah-olah meletakkan dirinya dilihat sebagai perempuan simpanan itu hanyalah fitnah semata-mata.

"Apa yang saya tahu, saya membuat laporan polis berhubung pemandu peribadi saya, Noor Azman Azemi, 38, yang melarikan duit saya sebanyak RM200,000. Tiba-tiba, saya pula didakwa dengan macam-macam cerita, saya terkejut dan tidak tahu-menahu mengenai isu yang dibangkitkan oleh pihak berkenaan. Berdasarkan latar belakang pihak yang membuat tuduhan, saya tidak menolak ini semua ada motif politik dan saya yang menjadi mangsa keadaan," katanya yang berkali-kali menafikan ada ada hubungan intim dengan menteri yang dimaksudkan.

Kata Zahida, dia hanya mengenali pemimpin itu sebagai menteri, tidak lebih daripada itu.

"Kami tidak pernah mempunyai sebarang hubungan peribadi. Sudah tentu saya tahu dia seorang menteri dan sebagai selebriti, dia pula orang kenamaan, kami ada bertembung dalam majlis-majlis tertentu tapi setakat itu sahaja. Lagipun sehingga sekarang saya masih solo dan masih belum mendirikan rumah tangga dengan mana-mana lelaki," tegasnya.

Bertanyakan Zahida tentang jalan hidupnya yang tidak habis dikaitkan dengan kisah skandal, hidup ditaja dan sekali gus melibatkan maruah seorang wanita, Zahida reda terhadap apa yang berlaku

"Bagi saya ini semua fitnah, gosip orang kenamaan dengan artis sudah jadi lumrah. Fitnah pula asam garam dalam kehidupan sebagai seorang artis. Masyarakat kita pula sukakan cerita hiburan," katanya yang tiba-tiba mendapat perhatian pengikut di laman Twitter.

Menjelaskan keadaan, kebanyakan komen berunsur negatif yang tertulis dalam Twitter pada awal isu berkenaan hangat diperkatakan bukanlah ditulis olehnya. Kata Zahida, dia bukan jenis artis yang aktif bertwitter.

"Bila ramai yang mencari saya, mereka mula menjadikan akaun Twitter saya sebagai sasaran. Selama ini, anak-anak saudara saya yang membalas kebanyakan komen di Twitter itu. Bila sedar, komen-komen mereka itu banyak tidak senonoh, barulah saya ambil alih dan betulkan dengan komen-komen yang positif," katanya.

Terbaru, Zahida menerusi peguamnya menghantar surat saman kepada Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin. Zuraida yang sebelum ini didakwa orang yang bertanggungjawab mendedahkan dan mendakwa menteri itu memberi wang kepada Zahida.

Surat yang dihantar melalui peguamnya, Shafee bertarikh 23 April itu antara lain menuntut Zuraida yang juga Ketua Wanita Keadilan berhenti membuat kenyataan media, menarik balik kenyataan terdahulu serta memohon maaf kepadanya dalam tempoh tujuh hari.

No comments:

Post a Comment