KUALA LUMPUR - Kegiatan licik sekumpulan penjenayah yang terlibat dalam pelbagai kes samun termasuk samun kenderaan mewah dengan modus operandi melanggar belakang kenderaan sasaran mereka tidak bertahan lama apabila empat orang termasuk dua wanita diberkas polis kelmarin.Dua suspek lelaki yang berusia 32 dan 37 tahun diberkas selepas kenderaan dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Desa Jaya, Kepong pada pukul 10.30 malam kelmarin manakala isteri dan teman wanita kedua-dua suspek itu pula ditahan dalam satu serbuan di sebuah hotel di ibu negara tidak lama selepas itu.
Sebelum dua penjenayah itu diberkas, sepasukan polis yang sedang membuat rondaan terserempak dengan sebuah kereta Toyota Camry warna putih yang dinaiki dua suspek bersama seorang lagi rakan mereka di bulatan Kepong, Jalan Kuching di sini pada pukul 10.30 malam.
Sebaik dihampiri polis, kereta tersebut terus memecut menyebabkan polis terpaksa mengejar kenderaan tersebut sejauh enam kilometer sehingga sampai ke persimpangan lampu isyarat di Desa Jaya di sini.
Suspek yang panik dikejar polis kemudian merempuh sebuah kereta Proton Wira yang dinaiki seorang lelaki menyebabkan kedua-dua buah kenderaan itu remuk.
"Dua daripada tiga lelaki yang menaiki Toyota Camry itu keluar dan cuba melarikan diri," kata Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan. - Kosmo
No comments:
Post a Comment