Ramai yang menghantar mesej kepada saya meminta saya mengulas tentang kenyataan terbaru Tun Mahathir Mohamad berhubung dengan hudud. Juga ada yang menyatakan saya double-standard apabila tiba kepada Tun Mahathir saya selalu mengelakkan untuk mengulas disebabkan saya ada hubungan baik dengan beliau.
Sebenarnya, ia disebabkan saya di UK dan baru sahaja tahu isu itu apabila dibangkitkan oleh rakan-rakan ‘tweet' (not twit). Jika saya di Malaysia, mungkin saya akan hubungi Tun sendiri, tapi jarak jauh menghalang hasrat tersebut.
Asas hukum hudud disebut dalam al-Quran seperti hukum potong tangan pencuri dan sebat bagi yang menuduh orang lain berzina dan yang berzina. Kewujudan hukum tersebut dalam al-Quran memang qat'i iaitu pasti tanpa sebarang takwilan lagi.
Ini disebut sebagai qat'iya thubut. Namun perbahasan ataupun pendetilan hukum tersebut seperti syarat-syarat hukum itu dilaksanakan, konteks perlaksanaan hukum dan segala pendetilan yang lain kebanyakannya adalah ijtihad ulama fekah.
Kebanyakan ijtihad itu berasaskan kefahaman mereka terhadap nas-nas yang zanni (speculative text l zanniyyat dilalah) iaitu nas-nas al-Quran atau hadis yang mempunyai pelbagai pentafsiran ataupun takwilan.
Ijtihad itu terdedah kepada penilaian semula dengan menggunakan ijtihad yang lain. Berbeza pandangan dalam perkara ijtihad, bukan satu kesalahan akidah pun.
Setelah saya tonton video Tun Mahathir tersebut, saya dapati ada kesilapan dalam menggunakan istilah. Tun Mahathir mungkin memahami hudud itu sebagai perbahasan fekah berkaitan hudud, maka beliau menyatakan hudud tiada dalam al-Quran.
Namun dalam masa yang sama beliau menyebut hanya ada beberapa hukum yang disebut secara umum. Di sini kesilapan beliau dalam menggunakan perkataan hudud tiada dalam al-Quran, sedangkan asas hukum tersebut memang ada dalam al-Quran.
Harap Tun Mahathir dapat membetulkan kenyataan tersebut. Namun kenyataan beliau bahawa yang penting hendaklah ditegakkan keadilan, memang sedang dipakai oleh ramai ‘Islamist' di masa kini. - Malaysiakini
No comments:
Post a Comment