25 March 2012

Suspek bakar lebih 18 kereta mewah ditahan

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dipercayai suspek bakar lebih 18 kereta mewah di Sentul sejak dua minggu lalu, ditahan polis pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wahm, berkata lelaki berumur 42 tahun itu ditahan semasa menaiki motosikal di persimpangan Kampung Puah, Sentul di sini pada 10.30 pagi tadi. Beliau berkata, semasa ditahan, lelaki itu didapati membawa tuala berbau petrol, minyak petrol serta pemutar skru yang ditajamkan dan dipercayai digunakan untuk memancitkan tayar kereta yang disasarkan. "Identiti lelaki itu dikesan melalui rakaman kamera TV litar tertutup (CCTV) di beberapa kawasan di mana kes kereta dibakar dilaporkan selain daripada maklumat orang awam," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini hari ini.

Dalam kes terbaru malam tadi, tiga kereta dibakar di kawasan Sentul dan satu di Titiwangsa.

Katanya, siasatan awal polis mendapati motosikal yang dinaiki lelaki itu dipercayai dicuri di Sentul pada Februari tahun lalu.

"Siasatan polis juga mendapati suspek turut terbabit dalam banyak kegiatan memancitkan tayar kereta, namun hanya tiga laporan dibuat mengenai kes tersebut," katanya.
Katanya, polis kini masih menjalankan siasatan berhubung motif sebenar suspek yang bergerak solo itu dan dia disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun keseksaan kerana khianat dengan menggunakan api.

"Suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau seperti mencuri motosikal serta gaduh dan dikehendaki di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mencederakan orang," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment