
Perkara itu disahkan oleh saksi ke-99 pendakwaan, pegawai penyiasat ASP Mohd Ishak Yaakob ketika peguam Manjeet Singh Dhillon merujuk beliau kepada beberapa dokumen yang dirampas dari pejabat guaman tertuduh pertama, N. Pathmanabhan.
ASP Mohd Ishak berkata berdasarkan dokumen berkenaan, syarikat Southern Symphony Sdn Bhd yang dimiliki oleh Sosilawati telah menjual tanah yang terletak di Batu Feringghi itu kepada syarikat Ample Quality Sdn Bhd yang mana ADUN Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil, merupakan seorang daripada ahli lembaga pengarahnya.
"Tahu atau tidak berapa dibayar Ample Quality untuk beli tanah berkenaan daripada Southern Symphony," soal Manjeet.
"RM2.9 juta telah dibayar sebagai deposit tetapi bakinya tidak dibayar lagi," jawab Mohd Ishak.
"Jadi, nilai tanah berkenaan dijangka naik lebih daripada RM200 juta walaupun perjanjian (jual beli tanah) belum diselesaikan," soal Manjeet dan saksi itu menjawab ya.
Mohd Ishak menyambung keterangan pada hari ke-69 perbicaraan kes Pathmanabhan yang merupakan bekas peguam serta tiga pekerja ladang T.Thilaiyalagan, R. Matan dan R. Khatavarayan yang didakwa membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati Kamaruddin Shamsuddin, 44.
Pathmanabhan, 43, Thilaiyalagan, 21, Matan, 22, dan Kathavarayan, 32, didakwa melakukan perbuatan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Kepada soalan oleh Manjeet, saksi pendakwaan itu berkata tanah berkenaan bagaimanapun masih dimiliki oleh Southern Symphony pada Ogos 2010.
"Kalau dia (Southern Symphony) tarik balik perjanjian apa jadi dengan projek itu," soal Manjeet.
"Projek akan terbengkalai," jawab Mohd Ishak.
"Jadi harapan Ample Quality nak millions of ringgit akan terhapus," soal Manjeet dan saksi itu menjawab ya.
Mohd Ishak juga bersetuju dengan Manjeet bahawa Southern Symphony yang ditubuhkan pada 13 April 2007 merupakan 'Syarikat Tujuan Khas' (SPV) bagi urusan jual-beli tanah di Pulau Pinang.
Selain itu, pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi itu berkata, analisa ke atas 65 sampel tanah yang diambil dari ladang yang dikatakan menjadi lokasi pembunuhan keempat-empat individu berkenaan tidak menemui sebarang kesan bahan pembakar iaitu bermaksud tiada bukti pembakaran ditemui pada kesemua sampel tanah berkenaan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung esok. - Bernama
No comments:
Post a Comment