27 March 2012

Nazri kata anaknya boleh urus sendiri hal peribadi

KUALA LUMPUR, 27 Mac — Menteri Umno Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menolak untuk memberikan respon berkenaan anak lelakinya Mohamad Nedim yang dikatakan terbabit dengan pergaduhan minggu lepas, dengan berkata anaknya itu sudah dewasa dan mampu menguruskan halnya sendiri.

“Saya tidak bertanggungjawab atas tindak tanduk dia,” katanya kepada The Malaysian Insider di semalam. “Tidak ada kene mengena dengan saya.”

Menteri itu turut berkata beberapa laporan polis telah dibuat berhubung insiden 20 Mac dan pihak polis sudah pun menjalankan siasatan.

Oleh yang demikian, Nazri menjelaskan adalah tidak sesuai untuknya memberikan sebarang komen berhubung perkara itu.

“Saya tidak boleh memberikan sebarang komen, sekiranya saya mula komen, itu mungkin akan menjadi prejudis situasi tersebut kerana sudah ada laporan polis,” katanya.

Beberapa laporan berita online melaporkan minggu lepas terdapatnya dakwaan Mohamad Nedim mengkasari pegawai keselamatan di sebuah kondominium di Mont Kiara malam Selasa lalu.

Memetik sumber yang tidak dinamakan, satu portal berita berkata pengurusan kondominium itu menerima tekanan untuk menutup insiden tersebut walaupun CCTV merekodkan pergaduhan itu, kerana firma keselematan bergantung kepada kerajaan untuk memperbaharui lesen mereka.

PKR mendakwa semalam, sekiranya polis “berusaha mempertahankan” pemimpin Barisan Nasional (BN) selepas membersihkan Nedim dalam dakwaan pergaduhan tersebut selepas empat hari insiden tersebut.

Ketua Polis Brickfield ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata pada Sabtu lalu “kes itu jelas” hanya melibatkan pengawal keselamatan dan pengawal peribadi Nedim.

“Saya tak tahu mengapa dan bagaimana ada orang lain boleh terlibat (Mohamad Nedim) dalam perkara ini,” menurutnya.

Namun Naib Presiden PKR N Surendran berkata dalam satu kenyataan semalam bahawa kenyataan Wan Abdul hanya dibuat selepas empat hari kejadian tersebut adalah “mencurigakan”.

“Adakah pihak polis cuba melindungi Umno dan reputasi kerajaan?” kata peguam tersebut. “Kejadian itu turut dilaporkan telah di rakam oleh CCTV di kawasan tersebut. Apa kandungan CCTV itu?”

Beliau turut mendesak polis mewujudkan pasukan khas untuk menyiasat kes berkenaan dengan lebih lanjut kerana kes ini melibatkan “ anak menteri kanan”.

Ini adalah kali kedua anak Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu terlibat dengan kejadian jenayah.

Pada 2004, Nedim dituduh terlibat dengan kematian Darren Kang, pelajar jurusan undang-undang di United Kingdom, yang dibunuh di Sri Hartamas.

Pada masa itu, Nazri mengakui anaknya berada di lokasi tersebut namun menegaskan anaknya tidak terlibat dengan jenayah tersebut, yang mana lima peniaga Thailand mengaku salah atas tuduhan membunuh. - TMI

* Rakyat boleh tahu jika polis cuba menyembunyikan sesuatu...


ARKIB : 16/02/2006


Lima warga Thai sebabkan kematian dipenjara 5 tahun

KUALA LUMPUR 15 Feb. - Lima warga Thailand yang mengaku salah atas tuduhan pindaan menyebabkan kematian mahasiswa undang-undang Darren Kang Tien Hua, 23, masing-masing dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Hakim Mohtaruddin Baki menjatuhkan hukuman tersebut mengikut peruntukan Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan selepas meneliti rayuan kesemua tertuduh, fakta-fakta kes dan mendengar hujahan pihak pendakwa dan pembela.

Hakim Mohtaruddin sewaktu membaca keputusannya menyatakan beliau mengambil kira faktor bahawa kesemua tertuduh merupakan warga negara asing yang datang ke sini mencari nafkah halal.

Kata beliau, sebagai pekerja restoran yang mengamalkan prinsip `pelanggan sentiasa betul', mereka sepatutnya meleraikan pergaduhan dan bukannya melibatkan diri dalam pertelingkahan tersebut.

``Tetapi sewaktu membuat penelitian, saya juga dapati mangsa melakukan perbuatan yang membuatkan kamu semua naik darah. Maka dengan itu, saya menjatuhkan hukuman penjara lima tahun setiap seorang bermula tarikh kamu ditangkap,'' ujarnya.

Terdahulu, peguam Hazman Ahmad sewaktu mengemukakan rayuan mengatakan bahawa kejadian yang berlaku adalah bukan satu jenayah terancang dan terdapat unsur provokasi dalam kejadian itu.

Antaranya ialah mangsa pada waktu kejadian berada dalam keadaan mabuk dan dibuktikan melalui laporan kimia yang menunjukkan kandungan alkohol dalam darah Darren adalah tinggi.

``Mangsa juga mengeluarkan kata-kata kesat, kasar dan ada unsur perkauman yang menyumbang kepada pertelingkahan itu,'' kata peguam bela.

Galeri awam yang dipenuhi ahli keluarga kesemua tertuduh menjadi riuh dan ada yang mengucapkan syukur apabila Hakim Mohtaruddin menyampaikan keputusannya.

Turut dilihat di mahkamah ialah ibu Darren, Sonia Teh, 48, dan kakak tiri mangsa, Melanie Kang. Tunangnya, Vivien Goh Win See, 26, juga hadir tetapi dilihat keluar lebih awal sebelum keputusan kes dibacakan.

Semalam, Sulkifli Muso, 20; Wae Yusoh Wae Salae, 25, dan Abdunloh Mamin, 21 bersama-sama dengan Abdul Torleh Yama serta Masukri Che Mae; masing-masing berusia 26 tahun mengaku bersalah terhadap pertuduhan pindaan terhadap mereka.

Mengikut pertuduhan pindaan tersebut, kesemua mereka didakwa melakukan perbuatan itu antara pukul 3 pagi dan 4 pagi, 6 Julai 2004 di Jalan 26A/70A, Desa Sri Hartamas di sini dan didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Di peringkat awal kesemua tertuduh didakwa atas tuduhan membunuh Darren di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, B. Sarala Pillai dan Timbalan Pendakwa Raya, Hamzah Ismail manakala Hazman dibantu oleh peguam bela, Ahmad Fuzi Zain.

Sarala yang ditemui media selepas selesai prosiding berkata pihaknya akan mengemukakan notis rayuan terhadap hukuman yang dianggap ringan ke Mahkamah Rayuan.

Sementara itu, ibu mendiang Darren, Sonia Teh ketika diminta komennya berkata, beliau memang berharap kesemua tertuduh dijatuhkan hukuman maksimum.

Bagaimanapun katanya, walau apa keputusan mahkamah, anaknya tetap tidak akan hidup semula. - Utusan

No comments:

Post a Comment