06 March 2012

Hukuman 10 tahun penjara ke atas “rasul Melayu” kekal

SHAH ALAM 6 Mac – Mahkamah Rayuan Syariah di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara 10 tahun, denda RM16,500 dan enam sebatan ke atas ketua ajaran sesat “Rasul Melayu”, Abdul Kahar Ahmad.

Abdul Kahar mengaku bersalah terhadap lima tuduhan pindaan mengikut Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, tiga tahun lepas.

Bagaimanapun, beliau merayu terhadap hukuman dijatuhkan Mahkamah Tinggi itu.

Panel tiga hakim, Tan Sri Ibrahim Lembut, Datuk Md. Yusup Che Teh dan Datuk Aidi Mokhtar membuat keputusan itu selepas mereka sebulat suara menolak rayuan Abdul Kahar, 62, untuk meringankan hukuman yang dijatuhkan ke atasnya pada 21 Oktober 2009.

Dalam penghakiman mereka, Ibrahim selaku pengerusi berkata, pihaknya menolak lapan alasan yang dikemukakan oleh Abdul Kahar bahawa Hakim Abu Zaky Mohammad telah terkhilaf semasa menjatuhkan hukuman itu ke atasnya.

Mereka sebaliknya berpendapat, hukuman penjara, denda dan sebatan itu sesuai dengan kesalahan perayu mengaku dirinya sebagai rasul yang sangat serius serta merosakkan akidah umat Islam. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment