SHAH ALAM, 30 Mac — Umno yang terlalu dominan di Selangor akan menyaksikan Barisan Nasional (BN) kehilangan Selangor kerana undi bukan Melayu akan lari kepada Pakatan Rakyat (PR), kata Dr Khir Toyo.
Bekas Menteri Besar Selangor itu berkata masalah Selangor adalah parti komponen BN tidak 'bersatu' – MCA, MIC, dan Gerakan gagal memainkan peranan menarik pengundi baru dan tidak memberikan Umno peluang sebaliknya mengukuhkan kedudukan sendiri sebagai persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.
“Apabila UMNO menjadi dominan, mereka akan mengetepikan penyokong bukan Melayu. Itu merupakan salah satu masalah yang menjadi penyebab kepada kaum Cina yang tidak mengundi BN.
“Sekarang, berkemungkinan kita akan hilang Selangor jika keadaan ini berterusan dan kemenangan semestinya susah buat kita kerana sasaran kita adalah untuk mendapatkan pengundi muda,” katanya dalam temubual eksklusif bersama wartawan TMI.
Penggal Adun Sungai Panjang ini tamat apabila BN tewas kepada PR sewaktu pilihan raya 2008. PR memenangi 36 daripada 56 kerusi negeri yang mana Tan Sri Khalid Ibrahim menggantikan Khir sebagai menteri besar.
Khir (gambar) menegaskan “hampir” keadaan demografi pengundi antara Melayu dan bukan Melayu menjadikan negeri itu sukar ditawan BN kerana hanya pengundi Melayu bersama BN.
“Mampukah BN menawan Selangor? Kita kembali kepada peratusan pengundi, 52 peratus kalau tak silap saya adalah bukan Melayu.
“Masalahnya di sini adalah sesetengah kerusi yang kita (Umno) menang pada 2008 adalah di bawah 500 pengundi, tapi Umno rasakan semua kerusi adalah boleh dimenangi kerana mereka hanya mendapat reaksi daripada Melayu,” katanya.
Menurut Khir sementara Umno mendekati komuniti Melayu di Selangor dan mendapat respon positif, parti komponen seperti MCA dan MIC perlu melakukan perkara sama.
“Kita perlu dapatkan laporan daripada bukan Melayu ... Umno sudahpun melaksanakannya, parti komponen harus lakukan perkara yang sama, untuk Cina dan India.
“Perkara pokok di sini adalah jika Umno terlalu dominan, perkara itu menjadikan bukan Melayu tidak selesa. Mereka kemudiannya akan mengundi untuk PR walaupun PR tidak melaksanakan apa-apa,” tambahnya.
Jalan penyelesaiannya menurut Khir adalah BN perlu “memperkukuh” MCA, MIC, dan Gerakan dengan membenarkan mereka mengumumkan projek-projek untuk komuniti mereka selain pengumuman di buat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Pemimpin Umno itu menjelaskan komuniti bukan Melayu telah hilang “hormat” kepada pemimpin parti komponen BN kerana mereka dilihat tidak mampu untuk membantu komuniti mereka sendiri.
“Itu sebabnya sekarang kita perlu berikan lebih kuasa kepada MCA dan MIC. Pastikan presiden parti mereka mengumumkan peruntukan untuk sekolah, untuk komuniti mereka. Sekiranya kita hanya mengharapkan perdana menteri dan timbalannya, Umno akan dilihat terlalu dominan, dan masyarakat Cina akan hilang kepercayaan terhadap pemimpin mereka.
“Itu masalahnya sekarang, saya sering ingatkan sekarang kita perlu tingkatkan peluang kepada parti lain untuk membuat keputusan mereka dan berikan mereka peruntukan,” tegasnya.
Khir turut memuji pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad ketika era pemerintahan beliau sebagai perdana menteri, dan oleh sebab itu pemimpin seperti Datuk Seri S Samy Vellu dan Tun Dr Ling Liong Sik dihormati.
“Kekuatan Umno sahaja tidak akan mampu untuk memperoleh undi bukan Melayu seperti mana dilakukan untuk Melayu. BN Selangor harus bertindak seperti BN, bukan Umno. Kita sekarang berada di peringkat akhir sebelum pilihan raya.
“Sebab itu Samy Vellu seperti raja untuk bangsanya, kerana beliau mengumumkan peruntukan, bukan Dr Mahathir. Suatu ketika dahulu, pemimpin parti komponen begitu dihormati dan sangat kuat kerana mereka turun padang dan memberikan pelbagai benda ... menteri sekarang tiada faktor ‘umph’. Cuba lihat (Datuk Seri) Liow (Tiong Lai) dan (Datuk Seri) Kong Cho Ha.”
Menurut Khir, masih belum terlambat untuk melaksanakan perkara itu, namun perubahan harus dibuat dengan segera bagi membolehkan bukan Melayu menyokong BN.
“PR tidak menunaikan janji pilihan raya mereka walaupun mereka kata mempunyai simpanan tunai yang banyak.
“Saya sangat risau akan Selangor,” katanya.
Namun begitu, semalam Najib menjelaskan BN sudah bersedia untuk menang pilihan raya akan datang termasuk menawan kembali Selangor, dan sokongan rakyat amat menggalakkan.
Menurut beliau rakyat sering memberitahunya BN telah kembali memperolehi sokongan rakyat sejak pilihan raya 2008.
Perdana menteri itu menjelaskan BN harus menawan semula Selangor, negeri yang kaya dengan sumber alam semulajadi dan industri “walau apa pun yang berlaku.” - TMI
* Rakyat hendak tukar selera...
No comments:
Post a Comment