24 March 2012

2 suspek larikan Honda Civic mati ditembak

PETALING JAYA - Dua lelaki maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis selepas mereka melarikan sebuah kereta jenis Honda Civic di Persiaran Bukit Utama, Damansara malam tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah dalam kejadian kira-kira 9.30 malam itu, suspek melepaskan tembakan ke arah polis peronda setelah menyedari kehadiran mereka semasa sedang menukar plat nombor pendaftaran kereta yang dilarikan itu di sebuah lorong gelap.

"Suspek yang menyedari kehadiran polis telah bertindak melepaskan dua das tembakan ke arah polis yang mengenai cermin hadapan kereta polis.

"Ini menyebabkan kejadian berbalas tembakan dan kedua-dua suspek mati di tempat kejadian," katanya pada sidang berita di tempat kejadian.

Beliau berkata polis turut menemui sepucuk pistol, sebilah pisau rambo, sebilah parang dan nombor plat pendaftaran palsu bersama-sama suspek yang terbunuh.

Menurutnya, kedua-dua suspek yang berusia 37, (dari Taman Ampang Indah) dan 39 tahun itu, (dari Seksyen 1, Wangsa Maju) mempunyai rekod jenayah lampau.

Tun Hisan berkata, suspek sebelum itu telah mencuri kereta berkenaan daripada sepasang kekasih yang ingin membeli pizza di Centrepoint, Persiaran Bukit Damansara.

"Mangsa seorang lelaki dan wanita telah dihampiri tiga lelaki, yang menyamar sebagai polis. Ketika mangsa mengeluarkan kad pengenalan mereka, suspek telah
bertindak menarik keluar mangsa daripada kereta itu sebelum melarikannya.

"Dua daripada suspek melarikan kereta berkenaan manakala seorang lagi memandu kereta yang sedia menunggu," katanya.

Polis peronda, yang menyedari kereta itu dipandu laju dan dalam keadaan mencurigakan, mengekori kereta berkenaan sebelum ia dilihat berhenti di sebuah lorong gelap, katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment