21 February 2012

Tiga suspek serang 'ala mafia'

KUALA LUMPUR 20 Feb. - Tiga lelaki cedera termasuk dua parah selepas diserang secara 'ala mafia' oleh tiga suspek yang melepaskan lebih 17 das tembakan bertalu-talu di Pangsapuri Gardenia Court, Taman Sri Gombak di sini malam tadi.

Ketika kejadian pada pukul 9.30 malam itu, mangsa yang menaiki sebuah kereta baru tiba di pangsapuri tersebut untuk menghadiri majlis hari jadi.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, ketika mangsa tiba di tempat letak kenderaan, mereka dihampiri sebuah kenderaan pacuan empat roda (4x4) dinaiki tiga lelaki yang kemudian melepaskan tembakan dan mengenai kesemua mangsa.

Menurutnya, suspek telah melepaskan tembakan ke arah ketiga-tiga mangsa iaitu K. Ashok, 18; M. Tirusilan, 23, dan P. Kesavan, 29.

"Seorang daripada mangsa dipercayai terkena 14 tembakan sehingga cedera di kedua-dua belah tangan, punggung dan kaki manakala dua lagi rakannya terkena tembakan di tepi leher, dagu dan bahu.

"Dua daripada mangsa dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala seorang lagi dibenarkan pulang selepas menerima rawatan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, kejadian tersebut disedari penduduk yang terdengar bunyi letupan berulang kali sebelum pengawal keselamatan menemui mangsa yang berada dalam keadaan parah.

Katanya, siasatan polis di tempat kejadian menemui 17 kelongsong peluru jenis automatik .45 dan empat kelopak peluru.

"Selain itu, polis turut mengambil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pintu masuk pangsapuri untuk melakukan penelitian dan membuat pengecaman suspek.

"Siasatan terperinci dilakukan bagi mengetahui motif serangan dengan merekod keterangan daripada mangsa-mangsa," ujarnya sambil memberitahu kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971. - Utusan

No comments:

Post a Comment