22 February 2012

Sindiket curi kenderaan terbesar tumpas

SHAH ALAM 21 Feb. – Satu sindiket yang menjalankan kegiatan curi kenderaan termasuk lori dan kereta tempatan sejak lebih 10 tahun lalu akhirnya tumpas apabila polis menahan seramai 12 suspek dalam tiga serbuan di negeri ini dan Perak, minggu lalu.

Sindiket curi kenderaan ini yang dipercayai terbesar pernah wujud di negara ini dan mampu mengaut keuntungan jutaan ringgit. Mereka biasanya akan mencuri kenderaan di tempat letak kereta awam, selain menyamun kenderaan daripada pemiliknya.

Hampir kesemua kenderaan yang dicuri itu biasanya akan dileraikan komponen untuk dijual secara berasingan dan jenayah sindiket itu dilakukan di sebuah gudang terpencil yang terletak di sebuah kawasan persendirian dalam ladang kelapa sawit di Kampung Air Putih, Simpang, Perak.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah memberitahu, kejayaan itu bertitik-tolak daripada penangkapan tiga lelaki berusia 22 hingga 33 tahun yang cuba mencuri sebuah lori di belakang sebuah pasar raya di Rawang pada Khamis lalu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dalam kenderaan Proton Wira dinaiki suspek, polis menemui peralatan digunakan untuk mencuri kenderaan, antaranya pemutar skru, gunting, playar, wayar yang diubah suai dan ‘test-pen’.

Menurutnya, susulan penangkapan tiga lelaki itu, polis menahan seorang lelaki berusia 25 tahun di Sabak Bernam, pada pukul 4 pagi sehari kemudian.

“Hasil soal siasat ke atas lelaki terbabit, polis mendapat maklumat mengenai lokasi penyimpanan enjin lori dan kereta curi di sebuah gudang di Kampung Air Putih.

“Dalam serbuan kira-kira pukul 4 petang hari yang sama, lapan suspek ditahan terdiri daripada seorang wanita iaitu kerani berumur 42 tahun, tiga lelaki tempatan dan empat warga Bangladesh berusia 18 hingga 50 tahun dipercayai ahli sindiket itu,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Media, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Tun Hisan berkata, dalam serbuan itu, polis juga berjaya merampas beberapa peralatan lori dan kereta yang telah dileraikan, dipercayai untuk dijual di pasaran tempatan.

“Antara peralatan yang dijumpai dalam gudang itu adalah 1,101 enjin lori, 1,040 pintu lori, 102 enjin kereta, 128 buah kenderaan keluaran tempatan, 30 kepala lori, tiga buah lori, tiga bahagian hadapan kereta dan beberapa unit kunci lori.

“Ketika ditemui, kesemua nombor casis pada lori yang kebanyakannya jenis Hicom, Daihatsu dan Isuzu muatan satu tan itu telah dikikis bagi mengelak dikesan. Bagaimanapun, kita akan menggunakan khidmat pasukan forensik untuk mengesan nombor casis asal semua kenderaan itu,” katanya.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan lanjut ke atas semua kenderaan curi itu, antara kes kecurian paling awal dikesan adalah kehilangan sebuah lori di Hutan Melintang, Perak pada tahun 1999.

Tun Hisan pada masa yang sama turut meminta seorang lelaki, R. Muniandy, 38, iaitu pemilik gudang berkenaan tampil untuk membantu siasatan kes ini.

Katanya lagi, kesemua suspek yang ditahan, direman sehingga hari ini dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu mencuri kenderaan. - Utusan

No comments:

Post a Comment